PENGARANG Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar (dua,kiri) bersama Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof (tiga,kiri), Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Abdul Ghaffar Ismail (kanan) dan Setiausaha MDHS, Azman Dahlan bergambar bersama pemenang-pemenang Metro Open Jamboree.
PENGARANG Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar (dua,kiri) bersama Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof (tiga,kiri), Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Abdul Ghaffar Ismail (kanan) dan Setiausaha MDHS, Azman Dahlan bergambar bersama pemenang-pemenang Metro Open Jamboree.

Kuala Kubu Bharu: Cabaran getir sukar sedikit pun tidak melemahkan semangat 1,250 peserta yang menyertai dua acara berbasikal membabitkan acara Jamboree mahupun XC Metro Race.

Biarpun terpaksa berkayuh merentas trek sepanjang 38 kilometer membabitkan cabaran mendaki serta menuruni 18 bukit dan sungai, semua peserta berjaya menamatkan kayuhan dengan jayanya.

Malah, bagi peserta Jamboree, biarpun berkongsi cabaran dan halangan sama dengan peserta XC Metro Race, rasa perit itu tidak begitu terasa kerana konsep kayuhan mereka yang bersifat agak santai.

Ini diakui sendiri juara kategori jamboree Veteran Tan Chee Yong.

Menurut Chee Yong, halangan memang cukup mencabar namun kepuasan melihat keindahan alam selain minat terhadap sukan berbasikal memadam rasa sukar dalam dirinya.

“Kawasan sini memang cukup cantik kerana panorama serta keadaan udaranya membuatkan sesiapa saja berasa tenang dan mendamaikan.

“Jadi, semasa berkayuh, saya rasa seperti sebati dengan hutan menyebabkan hilang rasa penat dan lelah,” katanya.

Katanya ini adalah pengalaman pertama menyertai jamboree HMMTBGP biarpun sebelum ini pernah dua kali menyertai acara XC Metro Race.

“HMMTBGP ini memang antara kejohanan kesukaan saya, jadi di sirkit akhir ini sengaja saya pilih acara jamboree kerana ingin mencuba kelainannya.

“Saya gembira kerana berjaya menamatkan kayuhan di tempat pertama,” katanya.

Tempat kedua dimenangi Ma Wong Ee dan ketiga oleh Ricky Yong.

Bagi kategori Lelaki Elit, juara dimenangi Mohd Hafiz Rozli, Mohd Zukri Tahir (kedua) dan Suhardi Hassan (ketiga).

Muhamad Ayub Mohd Radzi pula mengungguli kategori Remaja, Faruq Daud (kedua) dan Hafiz Samsudin (ketiga).

Juara Terbuka Wanita pula dimenangi Ainnurulhuda Rusli, Nor Deena Safia (kedua) dan Mardiana Mohd Radzi (ketiga).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 5:13 AM