NADZMI tampil dengan single Kamulah Wanita.ciptaan Aiman Sidek.
NADZMI tampil dengan single Kamulah Wanita.ciptaan Aiman Sidek.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Nadzmi Adhwa mula dikenali menerusi drama Hati Perempuan. Siapa sangka, dalam diam pelakon berusia 23 tahun ini berbakat dalam bidang nyanyian.

Kini dia mula mengembangkan sayapnya sebagai penyanyi secara serius apabila tampil dengan single Kamulah Wanita.

Menurut Nadzmi, single ini ciptaan sepenuhnya Aiman Sidek yang pernah menghasilkan lagu Bunga Dhia.

Walaupun minatnya lebih mendalam terhadap karier lakonan, Nadzmi tidak menolak sekiranya dia lebih diterima sebagai penyanyi.

“Saya ingin mencuba nasib. Kalau orang terima dengan baik, alhamdulillah, tetapi kalau sebaliknya tidak mengapa. Sekurang-kurangnya, saya sudah mencuba,” katanya.

Tambah Nadzmi lagi, dia menerima tawaran untuk menyanyikan lagu Kamulah Wanita daripada Aiman selepas komposer itu melihat dia menyanyikan lagu saduran.

“Saya ada juga menyanyikan lagu saduran di Instagram dan salah satunya adalah lagu Bunga Dhia nyanyian Aiman. Dari situlah dia mula nampak bakat saya dan berbincang dengan lebih lanjut.

“Pertama kali dengar lagu Kamulah Wanita, saya terus jatuh hati. Aiman memaklumkan dia mencipta lagu ini mengikut kesesuaian vokal saya,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai lagu itu, Nadzmi berkata ia berkisarkan pencarian cinta.

“Kalau dengar betul-betul, lagu ini ada sedikit persamaan dengan lagu Pencinta Wanita nyanyian Irwan–syah,” katanya.

Ditanya siapakah penyanyi kesukaannya, Nadzmi berkata dia peminat setia banyak band tempatan dan Indonesia.

“Selain Irwansyah, saya juga menggemari muzik yang dibawa band Indonesia. Kalau band dalam negara pula, saya suka Sixth Sense kerana muzik mereka ada identiti tersendiri,” katanya lagi.

2016 LEBIH FOKUS

Mengulas perancangan 2016, Nadzmi mahu fokus pada karier berbanding perkara lain.

Soal cinta, ketepikan dahulu kerana dia perlu mantapkan nama di persada seni tanah air terlebih dahulu selain mengukuhkan ekonominya.

“Ada yang bertanya mengenai cinta, tetapi bagi saya biarlah fokus pada kerjaya seni dulu. Lagipun saya masih hijau dalam bidang ini,” kata anak kedua daripada empat beradik ini.

Kata Nadzmi lagi, sepanjang tahun ini banyak matlamat dan perancangannya berjaya dicapai termasuk berlakon di bawah arahan Osman Ali.

“Syukur impian untuk bekerja dengan Abang Osman menjadi kenyataan apabila diberi peluang tampil dalam telefilem Tollgate Asmara.

“Selepas itu, dia panggil saya berlakon dalam filem Langit Cinta pula dan dapat bergandingan dengan ramai bintang hebat.

“Untuk 2016, saya teringin berlakon dengan Rosyam Nor. Dia antara idola saya dan harap impian ini dapat direalisasikan,” katanya.

Januari ini, Nadzmi akan menjalani penggambaran drama Jom Kahwin arahan Khabir Bhatia.

“Selain Langit Cinta yang bakal ditayangkan pada 7 Januari ini, saya juga akan turut muncul dalam telemovie Jangan Ambil Botol Itu pada 4 Januari.

“Saya juga akan terikat dengan penggambaran drama Jom Kahwin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2015 @ 11:53 AM