AWEERA.
AWEERA.
Oleh Michelle Gun


Selepas berpisah dengan kumpulan Mojo dua tahun lalu, Aweera merancang menubuhkan band baru yang menggunakan namanya.

Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Aweera Noriyissham berkata walaupun kini bergerak secara solo, dia lebih selesa bersama band.

“Bukan tidak suka solo, tetapi apabila bersama band persembahan rasa berbeza dan dapat lebih menghayati lagu.

“Oleh itu, saya merancang menubuhkan kumpulan baru tahun ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama Inikah Cinta.

Bakal tamat kontrak dengan Sony Music, Aweera berkata, lagu Terhakis adalah single sulungnya selepas tidak bersama Mojo.

“Buat masa ini, saya sibuk dengan rakaman single baru ciptaan sendiri, Egois Dramatik,” katanya.

Selain karier nyanyian, Aweera bakal muncul dalam drama Inikah Cinta yang kini bersiaran setiap Jumaat hingga Ahad, jam 7 malam di TV3.

Memegang watak pembantu sebagai Aizat Lazim, Aweera mengakui berlakon menuntut kesabaran tinggi berbanding nyanyian.

“Ini kali pertama saya berlakon drama bersiri. Sepanjang 40 hari penggambaran, kena banyak bersabar kerana masa kerja panjang.

“Bayangkan ada hari saya perlu jayakan 35 babak bermula dari jam 9 pagi hingga 3.30 pagi keesokannya dan ia sangat memenatkan,” katanya.

Pernah beraksi dalam telefilem Veteran Rock, penyanyi itu turut mengakui sukar menjayakan babak komedi.

“Bukan senang buat babak komedi. Selepas lihat hasil suntingan saya rasa lakonan saya teruk, tetapi biar penonton menilai.

“Dengan bimbingan pelakon senior, saya dapat memperbaiki kelemahan itu,” katanya.

Biarpun belum ada tawaran lain, Aweera ingin terus mengembangkan bakat sebagai pelakon.

“Saya suka mencuba sesuatu yang baru dan pengalaman berlakon drama ini sangat berharga buat saya.

“Bagaimanapun, nyanyian tetap menjadi keutamaan,” katanya.

Drama Inikah Cinta turut dibintangi Niezam Zaidi, Farah Nabilla, Syainie Aida, Jasmin Hamid, Kazar Saizi dan Fizz Fairuz.

Ia mengisahkan pelajar sebuah pusat pengajian tinggi, Rose Adline obses mahu mencipta minyak wangi sendiri.

Ketika belajar di semester akhir, Rose meminta bantuan pelajar jurusan muzik, Muamar membantunya mencari 14 spesies bunga dan 3,000 kuntum bunga untuk dijadikan pati minyak wangi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 9:22 AM