AIMAN Tino. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
AIMAN Tino. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Sudirman Mohd Tahir

Penyanyi Aiman Tino yang sebelum ini menggunakan khidmat ibu bapanya selaku komposer dan penulis lirik dalam menghasilkan setiap lagu bersedia untuk bekerjasama dengan komposer lain.

Selepas menghasilkan enam lagu termasuk single yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, Aiman, 20, atau nama sebenarnya Mohammad Aiman Yusri berkata, sudah tiba waktunya dia keluar dari zon selesa.

“Insya-Allah, selepas single baharu ini dilancarkan saya terbuka untuk bekerjasama dengan komposer lain pula. Saya juga sudah berbincang dengan ibu bapa mengenai perkara ini.

“Memandangkan mereka yang bawa saya ke tahap ini, saya tidak akan sesekali membelakangkan mereka.

“Kalau ikutkan perancangan bekerjasama dengan pihak lain sudah lama tetapi saya mahu memberi keutamaan kepada ibu bapa dulu.

“Apabila kami berbincang perkara ini, mereka izinkan dan okay dengan keputusan saya.

“Selepas dua tahun dalam industri, saya berasakan sudah sampai masa mencuba muzik lebih segar atau genre lain. Malah, perlu untuk saya keluar dari ruang selesa,” katanya.

Berkongsi mengenai genre lain, Aiman yang popular menerusi lagu Ku Rela Di Benci belum bersedia untuk berkongsi perkara itu.

Sebaliknya, Aiman memberi bayangan yang mana kerjasama itu membabitkan komposer baharu yang juga dalam kalangan rakan baiknya.

“Saya berharap percubaan ini nanti menjadi. Malah, saya yakin dengan bakat mereka berdasarkan lagu yang dihasilkan untuk rakan lain.

“Namun, tidak bermakna saya buang jauh genre lagu sebelum ini. Saya hanya mahu mencuba sesuatu yang baharu.

“Lagi pun, perubahan itu perlu untuk menyuntik kelainan dalam diri. Tidak mahu nanti peminat bosan dan menganggap saya sama saja dari awal sampai sekarang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aiman mengakui tidak ralat lagu Sesat Dalam Rindu gagal mara ke peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik 33 (MM33).

Ia sekali gus menyaksikan Aiman yang pernah layak ke pentas Anugerah Juara Lagu 31 terlepas peluang beraksi di acara berprestij itu.

“Tahun lalu, lagu saya layak ke separuh akhir tetapi gagal hingga ke peringkat akhir. Tahun ini, tidak tersenarai langsung. Apa pun, saya anggap belum ada rezeki.

“Mungkin lagu ini tidak cukup kuat untuk bertahan dalam carta dan bersaing dengan lagu lain. Malah, saya tidak meletakkan harapan tinggi terhadap lagu ini.

“Dari segi ‘feel’ pula, saya sekadar nyanyi dan tidak sama macam lagu pertama. Apa pun, mungkin ada rezeki lain menanti,” katanya.

Mengenai kerjaya lakonan pula, Aiman yang sebelum ini muncul dalam drama Mak Cun mengakui seronok menceburi cabang lakonan.

“Insya-Allah, saya akan muncul dalam telefilem khas sempena Anugerah Juara Lagu ke-33 tahun depan. Ia bergenre komedi. Sejujurnya, saya ‘enjoy’ setiap kali dapat berlakon.

“Namun, kerjaya nyanyian masih nombor satu. Kalau kebetulan ada tawaran menarik dan jadual mengizinkan, saya okay saja berlakon,” katanya.

Selain itu, Aiman bakal terbabit dalam Konsert Super Show 11.11 anjuran Lazada sempena Lazada 11.11 Shopping Festival yang bakal diadakan pada 10 November ini di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Artis lain yang terbabit ialah Khai Bahar, Bunkface, Wany Hasrita, Ziana Zain, Ella, Ayda Jebat, Haqiem Rusli dan ramai lagi.

Ditanya mengenai kisah cinta, Aiman mengakui belum bersedia untuk memberi komitmen dalam perhubungan.

“Saya masih selesa solo. Belum terfikir untuk bercinta. Mungkin disebabkan kesibukan kerja membuatkan saya belum bersedia untuk memberikan sebarang komitmen.

“Lagi pula, saya masih muda. Jadi, biarlah saya fokus kerja dulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 6:00 AM