GAMBAR diambil menggunakan dron menunjukkan pasukan penyelamat mencari mangsa.
GAMBAR diambil menggunakan dron menunjukkan pasukan penyelamat mencari mangsa.
AP

Shenzhen: Anggota penyelamat semalam mencari 91 yang masih dilaporkan hilang sehari selepas tanah dan sisa binaan menimbus puluhan bangunan di sebuah taman industri di Shenzen, selatan China.

Agensi berita rasmi, Xinhua melaporkan tanah runtuh itu menimbus dan merosakkan 33 bangunan di lokasi itu yang juga pusat pembuatan pelbagai barangan seperti kereta dan telefon bimbit utama di wilayah Guangdong, tidak jauh dari sempadan dengan Hong Kong.

Gambar dari udara disiarkan Biro Bomba, Kementerian Keselamatan Awam menunjukkan kawasan itu diliputi lumpur merah dengan beberapa bangunan senget atau runtuh sama sekali.

Hanya tujuh orang diselamatkan sepanjang malam dan 13 dimasukkan ke hospital, termasuk tiga yang parah, lapor China Central Television (CCTV).

Usaha mencari dan menyelamat semalam diteruskan dalam keadaan hujan.

Rakaman video telefon bimbit kejadian tengah hari Ahad itu disiarkan CCTV menunjukkan puing dan tanah menghempap bangunan manakala habuk memenuhi ruang udara.

Pihak berkuasa menganggarkan kejadian itu meliputi kawasan seluas 100,000 meter persegi dengan lumpur sedalam sehingga enam meter.

Kementerian Tanah dan Sumber berkata, kejadian berpunca daripada puing dan sisa binaan setinggi 100 meter yang dihimpunkan di bukit berhampiran sejak dua tahun lalu.

Hujan lebat di kawasan itu melembapkan tanah, menyebabkan ia tidak stabil sehingga runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 10:34 AM