KELIHATAN pemandangan cuaca mendung dan kilat sebelum hujan lebat turun ketika merakam di Padang Kota Lama, Georgetown di sini.
KELIHATAN pemandangan cuaca mendung dan kilat sebelum hujan lebat turun ketika merakam di Padang Kota Lama, Georgetown di sini.
BERNAMA

Kuala Terengganu: Kesan kemusnahan besar akibat banjir di Hulu Terengganu pada Ahad lalu adalah disebabkan gelinciran tanah dan aliran puing bersaiz sederhana di kawasan cerun Sungai Terengganu, berhampiran Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud (SJHSM) di Kenyir.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, berdasarkan siasatan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu di sepanjang Sungai Terengganu berhampiran empangan SJHSM itu pada Selasa lalu, mendapati tiada aktiviti pembalakan dijalankan di kawasan kejadian.

"Gelinciran tanah menyebabkan kejadian tanah runtuh yang membawa sisa-sisa kayu, debris (serpihan) dan tumbuhan hanyut dikenali sebagai puing. Ini disebabkan faktor hujan lebat yang turun selama lima hari berturut-turut mulai 23 sehingga 27 Februari lalu yang mencecah 1,000 mm (milimeter).

"Gelinciran tanah runtuh dianggarkan bersaiz panjang 100 meter, lebar 50 meter dan tebal lima hingga 10 meter. Sementara aliran puing yang bergerak dari puncak bukit hingga ke Sungai Terengganu ada yang mencapai sehingga 300 meter panjang," katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Sehubungan itu katanya, mesyuarat penyelarasan pascabencana sudah dijalankan dan kerja pembersihan sisa kayu giat dilakukan oleh pelbagai agensi berkaitan.

"Pemantauan melalui udara dan rondaan dari semasa ke semasa dijalankan bagi mengawasi keadaan. Semoga kenyataan ini dapat menjelaskan dan menjernihkan isu yang berlegar sehari dua ini dalam media sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 4:31 PM