FAUZAN bersama sebahagian produk di kedainya.
FAUZAN bersama sebahagian produk di kedainya.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Selaku peminat sukan tegar terutama dalam ragbi membuatkan pengasas Tackle, Fauzan Jaafar serta abangnya, Fariz memulakan perniagaan berasaskan barangan sukan sejak 2012.

Baik daripada koleksi pakaian seperti jersi sehinggalah bola, dua beradik ini cukup arif dengan keperluan pemain mahupun peminat barangan sukan ragbi.

Kata Fauzan, selain mendapat sambutan menggalakkan menerusi tempahan jersi daripada pasukan ragbi sekolah ada juga permintaan daripada kelab ragbi tempatan.

“Kami menyangkakan pelanggan ragbi tidak ramai namun sebaik memulakan jualan barang berasas sukan itu tidak sangka ramai meminati sukan berkenaan.

“Maklumlah pakaian mahupun barang ragbi biasanya mahal dan untuk pasaran tempatan pula terhad kerana sukan ini tidak meluas seperti bola sepak.

“Bermula dengan jersi, kini kami turut menjual aksesori berkaitan sukan itu termasuk alat latihan serta bola ragbi juga tidak ketinggalan dalam senarai diburu peminat sukan ini.

“Istimewa bola kami ialah rekaan ‘custom’ atau dibuat mengikut permintaan mahupun rekaan yang diingini pelanggan. Pilihan yang biasa diingini pelanggan selalu meletakkan logo kelab masing-masing,” katanya.

Tambah Fuazan, istimewa untuk jersi pula, material digunakan sesuai untuk pemakai tempatan.

“Manakala jersi mahupun koleksi pakaian sukan kami mengikut kriteria pemakai tempatan lebih nipis dan sesuai untuk cuaca tempatan yang panas. Jadi material kami gunakan adalah material poliester dan spandex.

“Kualiti kami berikan terbaik setaraf kualiti dipakai atlet. Kami pernah menaja pasukan kebangsaan pada 2014 dan pasukan ragbi Sekolah Sukan Tengku Mah­kota Ismail,” katanya.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan aksesori terbabit boleh melayari laman Instagram @tackleasia atau mengunjungi kedai di No 13a-1, Jalan Puncak Saujana 1/1a, Puncak Saujana Kajang Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2015 @ 5:00 AM