ANTARA kru KOYA.
ANTARA kru KOYA.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Bermula dengan perkataan Koya berasal daripada loghat pantai timur bermaksud ‘angan-angan’, lima sekawan Mohamad Ikman Amran, Syed Hafeez Al Yahya Habit Noh, Fuad Asri Muda, Muhammad Azrei Idrus dan Ehsan Shafiq menerbitkan jenama sendiri menerusi pakaian mahupun aksesori.

Kini tampil dengan rangkaian produk pakaian terbaru, jersi lengan panjang yang sesuai digayakan penggiat sukan ekstrem seperti motosikal dan basikal lasak serta pada masa sama turut sesuai untuk dipakai di rumah.

Menurut Ikman, sebelum ini mereka sering menghasil­kan kemeja peluh, kemeja-T mahupun aksesori, kini cenderung menghasilkan pakaian sesuai untuk sukan lasak.

“Sejak melancarkan beberapa rekaan sama ada kemeja-T mahupun kemeja peluh, sambutan diterima daripada peminat jenama tempatan cukup menggalakkan. Mereka sukakan elemen yang kami bawa kebanyakannya tema ‘90’s Urban Culture’ sering dikaitkan dengan cetakan corak pada papan luncur, motosikal mahupun kereta ‘culture custom’ dari Jepun dan Barat.

“Justeru kali ini, tema rekaan masih dikekalkan, namun identiti tempatan turut dimuatkan agar relevan dengan permintaan kumpulan sasaran iaitu belia yang meminati produk kami. Selalunya ‘pilihan panas’ adalah corak minimal seperti rekaan jersi kali ini Koya Softcript,” katanya.

Kata Ikman material mereka gunakan cukup berkualiti, bukan saja tahan lasak malah selesa dengan cuaca tempatan.

“Material kami gunakan ialah jenis jersi ‘dryfit eyelet’ sejenis material fabrik cukup selesa kerana mampu meregang mengikut perubahan cuaca dan situasi selain tidak panas. Harga kami kenakan cukup berbaloi sekitar RM80 dan ke atas bergantung kepada rekaan.

“Saiz kami tawarkan dari S hingga XXL, Biasanya kami mempunyai jumlah keluaran tertentu untuk setiap rekaan baju agar dapat menjamin nilai eksklusifnya,” katanya.

Bagi yang berminat boleh mendapatkan jersi unik mahupun produk Koya lain dengan mengunjungi laman web, www.koyaclothing.com dan Instagram mahupun Facebook, @koyaclothing. Selain itu mereka boleh mengunjungi butik di THE LODGE by KOYA , A173-2, Pusat Sri Dagangan, Jalan Tun Ismail, 25200 Kuantan, Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2015 @ 5:01 AM