Shamsul Munir Safini


PEMANDU lori bertindak menyembunyikan rokok putih seludup bernilai RM240,000 di dalam tilam sebelum berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang 3 pagi semalam.

Dalam sekatan jalan raya di Kilometer 267 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Jelapang, Perak itu, penguat kuasa JKDM negeri mengekori lori berkenaan susulan hasil risikan sebelum menahannya.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Saidi Ismail berkata, ketika pemeriksaan pada ruang muatan lori, pihaknya hanya menemui tilam usang dilonggokkan di situ.

“Namun siasatan lanjut di dalam ruangan muatan lori itu menemui tiga juta batang rokok putih seludup pelbagai jenama dimuatkan di dalam beberapa kotak.

“Kita percaya rokok itu diperolehi dari negara jiran dan sedang diedar ke stor simpanan di seluruh negara,” katanya pada sidang media di Bagan Jermal, Butterworth hari ini.

Menurutnya, semua rokok yang dirampas itu disyaki tidak lulus kastam kerana tiada label cukai.

“Jumlah cukai dalam rampasan itu bernilai RM2 juta dan pemandu lori berusia 30-an direman lima hari untuk tindakan lanjut,” katanya.

Saidi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (e) Akta Kastam 1967.

Saidi (dua dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang disimpan dalam tilam. FOTO Danial Saad
Saidi (dua dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang disimpan dalam tilam. FOTO Danial Saad

Sementara itu, dalam serbuan berasingan pada 9.15 pagi 11 Jun lalu, penguat kuasa Kastam menggempur stor simpanan rokok putih dan kretek seludup di sebuah premis tidak berpenghuni di Jalan Batu Maung.

Saidi berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemui 708,000 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama bernilai RM59,952 dengan cukai RM321,956.64.

“Kami juga sedang berusaha mengesan pemilik premis yang masih bebas.

“Kami percaya premis itu dijadikan stor menyimpan rokok seludup yang belum dapat kelulusan Kastam,” katanya.

Saidi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (e) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 3:53 PM