NORLELA menunjukkan gambar rampasan penyeludupan tembakau sedut pada sidang media di Ibu Pejabat Kastam Pelabuhan Utara. FOTO Faiz Anuar
NORLELA menunjukkan gambar rampasan penyeludupan tembakau sedut pada sidang media di Ibu Pejabat Kastam Pelabuhan Utara. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II Selangor menumpaskan sindiket penyeludupan tembakau sedut (snuff tobacco), gegelung besi serta minuman keras berjumlah RM20.59 juta, minggu lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, serbuan dan rampasan oleh Bahagian Penguatkuasaan Zon Tengah itu dilaksanakan menerusi Operasi Bersepadu dikenali sebagai Ops Forte 2024.

Menurutnya, bagi kes 'snuff tobacco', pasukannya berjaya menyita sebuah kontena yang dibawa masuk dari sebuah negara di Asia Selatan pada 18 Mac lalu.

Beliau berkata, sitaan membabitkan sebuah kontena di Pelabuhan Utara yang mengandungi 17,500 kilogram 'snuff tobacco' dengan anggaran nilai dan duti serta cukai berjumlah RM14,297,500.

"Siasatan ke atas kontena menemukan sejumlah 'snuff tobacco' yang disyaki tidak mempunyai permit import sah.

"Kuantiti dagangan dianggarkan sebanyak 17,500 kg 'snuff tobacco' membabitkan nilai berjumlah RM3,325,000 dan jumlah duti serta cukai dianggarkan RM10,972,500," katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Pelabuhan Utara, di sini, hari ini.

Norlela berkata, siasatan mendapati pihak sindiket membuat pengikraran tidak benar ke atas dagangan dengan mengikrar sebagai 'Used Clothing' dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Sementara itu bagi kes gegelung besi pula katanya, serbuan dibuat ke atas sebuah gudang di Zon Perdagangan Bebas, Pelabuhan Barat pada 19 Mac lalu.

"Hasil pemeriksaan menemukan 221 'steel coil' yang diseludup masuk untuk industri pembinaan disyaki diikrar tidak benar dan tidak mempunyai permit import.

"Dua lelaki tempatan berumur 35 dan 41 tahun dipercayai pengurus gudang dan pemilik dagangan ditahan untuk siasatan lanjut.

"Nilai dagangan dianggarkan sebanyak RM3,319,500 membabitkan kuantiti rampasan gegelung. Jumlah duti import dan duti anti-lambakan dianggarkan berjumlah RM1,542,200," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.

Bagi kes minum keras pula, beliau berkata, dua operasi berbeza dijalankan pada 13 Mac dan 18 Mac di Pelabuhan Barat dengan nilai rampasan RM1.43 juta termasuk duti serta cukai.

Katanya, sitaan keseluruhan bagi kedua-dua operasi berkenaan membabitkan 51,228 liter minuman keras yang masing-masing ditemukan di dalam kontena.

"Modus operandi kedua-dua sindiket juga membuat pengikraran tidak benar bagi mengelakkan dikesan oleh pihak JKDM. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 12:03 PM