PELBAGAI jenis rokok dan minuman keras yang dirampas. FOTO Melvin Joni
PELBAGAI jenis rokok dan minuman keras yang dirampas. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


Kuching: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas rokok putih, kretek dan minuman keras yang dianggarkan berjumlah RM676,650 dalam serbuan menerusi Op Kontraban di sebuah gudang, di sini, semalam.

Komandernya, Senior Asisten Komisioner Saini Bongkek berkata, rampasan membabitkan 3,950 karton rokok putih, 610 karton rokok kretek dan 119 liter minuman keras pelbagai jenama.

Katanya, serbuan dijalankan pasukan Cawangan Risik Ibu Pejabat PGA Briged Sarawak dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak kira-kira jam 12.30 tengah hari.

"Anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah RM676,650 (termasuk cukai), dengan nilai rampasan rokok sebanyak RM674,172 manakala minuman keras sebanyak RM2,478.

"Turut ditahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 26 tahun yang bekerja sebagai penjaga premis berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Saini berkata, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 5:15 PM