Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail menunjukkan barangan dirampas daripada sindiket penyeludupan hasil tiga serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada Ogos lalu. FOTO Ihsan JKDM
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail menunjukkan barangan dirampas daripada sindiket penyeludupan hasil tiga serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada Ogos lalu. FOTO Ihsan JKDM
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Taktik tiga sindiket penyeludupan yang membuat pengikraran palsu terhadap barangan mereka tidak berhasil apabila berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam operasi di sekitar Lembah Klang.

Barangan dibawa masuk adalah ayam sejuk beku, minuman keras dan rokok seludup yang membabitkan nilai rampasan termasuk cukai serta duti berjumlah RM4.6 juta.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah JKDM Norlela Ismail berkata, pihaknya menggagalkan cubaan membawa masuk dagangan sejuk beku yang disyaki keratan ayam dan ayam bulat menggunakan dua kontena di Pelabuhan Utara, Klang, Selangor, pada 7 Ogos lalu.

"Dalam pemeriksaan bersama wakil ejen pada jam 4.30 petang mendapati barangan dagangan seberat 56 tan itu tidak memiliki lesen import dari Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan gagal mengemukakan sijil halal yang diperakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Siasatan mendapati sindiket membuat pengikraran mengelirukan iaitu 'Frozen Foodstuff' pada borang kastam bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Sindiket juga cuba mengelak dikesan dengan sengaja melengahkan pengikraran supaya sukar dikesan melalui pintu masuk negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi kes kedua, Norlela berkata, JKDM sekali lagi mematahkan cubaan menyeludup masuk minuman keras melalui penahanan sebuah kontena di lokasi sama, pada 9 Ogos lalu.

Beliau berkata, sejumlah 25,920 liter minuman keras dengan anggaran nilai rampasan RM872,730 disyaki tidak berkastam dan diikrar sebagai barangan perabot dari negara jiran.

Katanya, dua wakil perkapalan juga gagal mengemukakan dokumen berkaitan kelulusan pengimportan dagangan dan mereka sudah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

"Dalam serbuan ketiga pada jam 10.30 pagi 22 Ogos lalu, pasukan JKDM menemui rokok putih dan kretek pelbagai jenama disyaki tidak berkastam di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Balakong Jaya, Selangor.

"Kesemua 5,186,400 batang rokok bernilai RM3.5 juta termasuk cukai dirampas dan tiga lori yang disyaki digunakan untuk mengedar rokok ke kawasan sekitar turut disita," katanya.

Kata beliau, berdasarkan siasatan gudang terletak di kawasan terpencil itu sudah beroperasi selama tiga bulan dan sindiket aktif menjalankan penjualan secara pukal kepada pelanggan sekitar.

Norlela berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan ahli sindiket berkenaan bagi siasatan lanjut.

Ketiga-tiga kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 1:31 PM