Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail bersama pegawainya dalam sidang media mengenai kes Op Kontena dan Op Kontraban di Kompleks JKDM Zon Tengah, di sini, hari ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail bersama pegawainya dalam sidang media mengenai kes Op Kontena dan Op Kontraban di Kompleks JKDM Zon Tengah, di sini, hari ini.
Raja Noraina Raja Rahim dan Hakimi Suria Kencana


Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan aktiviti penjualan minuman keras seludup dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan di Bangsar, di sini, pada 6 Mac lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, sepasukan anggota Zon Tengah Unit 1 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melaksanakan Op Kontraban dan menyerbu premis berkenaan kira-kira 1.30 tengah hari.

"Dalam serbuan itu, pasukan menemui 15,320 liter minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM635,500 membabitkan jumlah cukai dan duti dianggarkan RM812.200.

"Kita turut menahan seorang lelaki berusia 60 tahun yang menjaga kediaman itu bagi membantu siasatan," katanya dalam sidang media di Kompleks JKDM Zon Tengah di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati modus operandi sindiket adalah menyewa kediaman berkenaan untuk menyimpan bekalan sebelum diedarkan ke pasaran sekitar Lembah Klang.

Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti pemilik premis.

Dalam kes berasingan, Norlela berkata, pihaknya berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan rokok di sebuah rumah di Jalan Banjaran, Kempas Baru, Johor pada 27 Februari lalu.

Menurutnya, serbuan pada 8.10 malam itu menemukan 415,600 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam.

"Kesemua rampasan itu dianggarkan bernilai RM77,600 membabitkan cukai dan duti berjumlah RM282,000.

"Kita masih mengesan pemilik rumah dan individu yang terbabit penjualan barang seludup itu untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 1:24 PM