TUJUH premis judi dalam talian di sekitar Subang Jaya dikenakan tindakan pemotongan elektrik semalam. FOTO Ihsan Polis
TUJUH premis judi dalam talian di sekitar Subang Jaya dikenakan tindakan pemotongan elektrik semalam. FOTO Ihsan Polis
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Subang Jaya: Tujuh kedai judi dalam talian yang sudah digempur polis di sini, dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, tindakan diambil di bawah Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 bagi tujuan mengelakkan premis terbabit aktif menjalankan aktiviti perjudian semula.

Menurutnya, Ops Dadu Khas pada 10 pagi itu dijalankan dengan kerjasama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Semasa pemotongan bekalan elektrik dapati premis tidak berpenghuni dan operasi dijalankan dengan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, modus operandi premis terbabit adalah beroperasi pada waktu malam bagi menyukarkan dikesan pihak berkuasa.

Katanya, mereka juga hanya membenarkan pelanggan tetap untuk masuk ke dalam premia yang diawasi kamera litar tertutup (CCTV) dan pintu besi.

"Nilai pertaruhan yang ditawarkan bergantung kepada pemain (pelanggan)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 3:38 PM