GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Oleh Ahmad Hasbi


Seremban: Seorang ejen hartanah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan membuat pertaruhan judi atas talian kejohanan bola sepak Piala Dunia.

Tertuduh, Tan Kai Sen, 19, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Tan didapati bermain judi pertaruhan Piala Dunia Qatar 2022 secara dalam talian dengan menggunakan telefon bimbit di sebuah restoran di Pusat Komersial Saujana, S2 Height, di sini, pada jam 3.30 pagi, 14 Disember lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 (Akta 495) dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Mohamad Ibrahim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 dan penjara enam bulan jika tertuduh gagal menjelaskan denda.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Muhaimin Mohd Azman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 1:08 PM