Anggota polis melakukan siasatan rekod pertaruhan sindiket judi Euro 2016 yang ditumpaskan awal pagi tadi. FOTO Zainuz Fitri
Anggota polis melakukan siasatan rekod pertaruhan sindiket judi Euro 2016 yang ditumpaskan awal pagi tadi. FOTO Zainuz Fitri
Zainuz Fitri

Johor Bahru: Polis Johor menumpaskan sindiket judi Euro 2016 membabitkan nilai pertaruhan lebih RM20 juta susulan tangkapan dalang kegiatan itu dalam serbuan ke atas sebuah rumah mewah di Taman Suria Mauafakat, di sini, 2.45 pagi tadi.

Kejayaan melalui Ops Soga 6 itu sekali gus menjadi nilai pertaruhan terbesar yang berjaya ditumpaskan sejak kejohanan bolasepak Euro 2016 bermula 10 Jun lalu.

Sumber polis berkata, serbuan dilakukan tujuh anggota diketuai seorang pegawai Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Katanya, serbuan ke atas kediaman mewah dua tingkat itu menyaksikan seorang lelaki berusia 47 tahun diyakini dalang kegiatan pertaruhan di Malaysia dan negara jiran itu ditahan.

Pelbagai peralatan komputer yang digunakan untuk pertaruhan turut dirampas selain beberapa keping kertas mengandungi rekod pertaruhan.

Suspek dibawa ke IPK Johor untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 (Akta 495).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2016 @ 12:53 PM