WAN Mohd Khir ketika ditemui di rumah ibunya masih menunggu pengesahan insiden membabitkan abangnya. FOTO Mohamad Hairi Azmi Tham
WAN Mohd Khir ketika ditemui di rumah ibunya masih menunggu pengesahan insiden membabitkan abangnya. FOTO Mohamad Hairi Azmi Tham
Mohamad Hairi Azmi Tham

Kuala Kangsar: "Gerak hati saya mengatakan abang selamat dan tiada apa berlaku ke atasnya.”

Begitulah kata Wan Mohd Khir Johari Wan Ahmad, 53, iaitu adik Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Wan Mohd Khir berkata, walaupun masih belum mendapat maklumat sahih, dia merasakan abangnya selamat berdasarkan beberapa maklumat positif diperoleh.

Katanya, dia cuba menghubungi abangnya beberapa kali sejak dimaklumkan kes itu namun gagal.

"Saya menghubunginya sejak Maghrib (malam tadi) namun panggilan gagal sehinggalah kira-kira 9 malam. Namun, saya berfikiran positif dan berkemungkinan lokasi berkenaan tiada liputan telekomunikasi.

"Saya ada menghantar mesej pada kira-kira 3 petang. Abang ada membalasnya. Tapi, tidak sangka pula helikopter dinaikinya hilang daripada radar," katanya yang ditemui di rumah ibunya, di sini, malam tadi.

Menurutnya, pada mulanya, dia hanya mengetahui mengenai kehilangan helikopter itu dan tidak menyangka abangnya adalah seorang daripada lima penumpang helikopter terbabit.

Katanya, dia begitu terkejut apabila dimaklumkan abangnya berada dalam helikopter itu oleh rakannya yang bertugas di Pejabat Menteri Besar.

"Anak kawan saya di Sarawak kemudiannya turut menghubungi saya dan mengesahkan perkara itu termasuk isteri abang yang menghubungi saya.

“Sehingga ini, kami hanya menunggu maklumat sahih daripada pihak berkuasa dan berharap kesemua mereka selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 1:20 AM