MUHAMMAD Jelani (kiri) menunjukkan sauk kerang milik Allahyarham Muhammad Rasul bersama anak lelakinya, Muhammad Raihan (kanan). FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
MUHAMMAD Jelani (kiri) menunjukkan sauk kerang milik Allahyarham Muhammad Rasul bersama anak lelakinya, Muhammad Raihan (kanan). FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
MUHAMMAD Raihan (gambar kiri).
MUHAMMAD Raihan (gambar kiri).
Amirul Aiman Hamsuddin


"SAYA cuba selamatkan arwah yang terjatuh dengan terjun ke dalam laut. Tangan kanan saya memegang tangan abang manakala tangan kiri pula berpaut pada sampan.

"Namun, disebabkan ombak besar dan angin kencang selain kudrat yang semakin lemah, saya gagal menyelamatkan arwah dan dia 'hilang' dari pandangan."

Begitu kata-kata Muhammad Raihan Muhammad Jelani, 16, berhubung kejadian lemas yang mengorbankan abangnya, Muhammad Rasul, 23, di Muara Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, semalam.

Bercerita lanjut, Raihan berkata, ketika itu dia bersama Allahyarham pergi ke laut pada 9.40 pagi untuk menangkap kerang.

"Ketika kami berada di laut, cuaca buruk (angin kencang dan ombak besar) mengakibatkan sampan kami bergoyang lalu arwah terjatuh ke dalam laut.

"Saya yang panik kemudian terjun untuk menyelamatkan arwah namun gagal. Kemudian, saya cuba naik semula ke atas sampan tetapi tidak berjaya sehinggalah diselamatkan nelayan yang kebetulan melalui kawasan kejadian," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Tebuk Marso, Sungai Limau, hari ini.

Kata Raihan, dia kemudian menghubungi ibunya, Rozilah Nanyan, 43, bagi memberitahu kejadian yang menimpa anak kedua dari empat beradik itu.

Bapa Allahyarham, Muhammad Jelani Othman, 51, berkata, Allahyarham sempat pulang ke rumah untuk bersarapan dan membasuh sampan sebelum turun semula ke laut bersama Raihan.

"Sebelum kejadian, arwah keluar pada 8 pagi dan membawa pulang 15 kilogram kerang yang ditangkapnya.

"Menjadi rutin arwah menangkap kerang di laut, tak sangka ia akan jadi yang terakhir," katanya yang kelihatan tenang.

Tambah Jelani, dia dan keluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan bersyukur mayat Allahyarham ditemui beberapa jam selepas kejadian itu berlaku.

Sementara itu, Rozilah yang juga ibu Allahyarham berkata, anak lelakinya itu disifatkan sebagai anak yang mendengar nasihat selain sering bermanja dengannya.

"Arwah anak yang manja berbanding adik-beradiknya yang lain. Ke mana saya pergi, dia mesti nak ikut dan tidak pernah sesekali melawan arahan.

"Anak yang rapat dengan saya, Allah panggil pulang buat selamanya. Sebagai ibu, saya redha dengan ujian ini walaupun sukar terima hakikat," katanya.

Jenazah Muhammad Rasul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Haji Dorani, kira-kira 5 petang semalam.

Berita berkaitan:

  • Lelaki hilang ketika cari kerang ditemui lemas
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 12:39 PM