Mazuan Mat Zin (44 tahun) yang maut dalam kemalangan di KM 57, Jalan Lingkaran Tengah Utama (CSR) menghala ke Kuala Lipis pada jam 5.30 petang, pada hari pertama Syawal (10 April), lalu.
Mazuan Mat Zin (44 tahun) yang maut dalam kemalangan di KM 57, Jalan Lingkaran Tengah Utama (CSR) menghala ke Kuala Lipis pada jam 5.30 petang, pada hari pertama Syawal (10 April), lalu.
Amir Hamzah Nordin


Lipis: "Mazuan sudah memberitahu keluarga dia sudah ada teman wanitanya dan sekiranya ada jodoh, dia berhasrat untuk mengahwininya.

"Dia yang sangat gembira akan pulang bersama teman wanitanya untuk diperkenalkan kepada kami pada cuti hari raya ini," kata Marliana Mat Zin, kakak kepada pengawal keselamatan yang maut bersama teman wanitanya dalam kemalangan pada hari raya pertama lalu.

Menurutnya, adiknya, Mazuan Mat Zin, 44, memaklumkan hasrat itu namun ia tidak kesampaian selepas dia bersama Kisnawita Saad 46, maut dalam kejadian di KM 57,Jalan Lingkaran Tengah Utama (CSR) menghala ke Kuala Lipis itu.

Katanya, difahamkan keluarga teman wanita adiknya di Perak sudah tahu perhubungan mereka berdua dan membenarkannya ke Kelantan untuk berjumpa keluarga sebelah lelaki pada hari kejadian.

Menurutnya, adiknya itubersungguh-sungguh mahu memperkenalkan teman wanitanya kepada keluarga, hingga sanggup menunggang motosikal bersama teman wanita berkenaan walaupun menempuh jarak perjalanan yang jauh.

"Tetapi ketika berada di rumah dan di awal hari raya, adik saya kurang bercakap dan nampak tidak gembira.

"Adik saya berkenalan dengan wanita itu beberapa bulan lalu kerana berkerja di sebuah syarikat yang sama di Damansara sebagai pengawal keselamatan, " katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Lipis semalam.

Katanya, ditanya mengapa tidak begitu gembira, arwah memberitahu untuk pulang segera ke Sungai Buluh pada hari raya pertama kerana cuti yang pendek dan terpaksa bekerja.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS-X bersama pasangannya datang dari Kuala Krai, Kelantan untuk pulang ke rumahnya di Sungai Buluh selepas selesai bercuti berhari raya Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2024 @ 4:55 PM