Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman


Kuala Lipis: “Saya tidak menyedari kehilangan abang pada hari kejadian kerana tidur.

“Apabila abang tidak pulang sehingga petang, keluarga cemas memandangkan keadaan abang yang cacat pendengaran, kaki dan tangan selain menghidap sawan,” kata Rosmaidi Bahtam.

Rosmaidi, 16, adik kepada Rosi, 19, remaja Orang Asli yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu di Kampung Bandar, Pos Lenjang, di sini.

Mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran, kaki dan tangan disedari hilang Jumaat lalu selepas tidak pulang ke rumah pada petang.

Rosmaidi berkata, dia hairan kerana abangnya jarang keluar rumah.

“Abang hanya akan keluar bermain di sekitar kawasan kampung dan pulang apabila petang.

“Apabila abang tidak pulang seperti biasa, keluarga bimbang dan mencarinya bersama-sama penduduk dua hari,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Katanya, selepas usaha mencari abangnya gagal selain tidak menemui sebarang petunjuk laporan polis dibuat ibu saudaranya pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, usaha mencari dan menyelamat mangsa kini dipertingkatkan.

“Dalam operasi ini kami menggandakan usaha dengan menggunakan empat anjing pengesan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta polis yang berfungsi mengesan orang hilang dan mayat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 6:20 AM