FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Seramai 1,000 orang termasuk pelajar sebuah sekolah menengah di sini, menjalani ujian saringan tifoid atau demam kepialu susulan lima pelajar disahkan dijangkiti tifoid.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin, saringan itu membabitkan pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun dan juga kakitangan sekolah.

Beliau berkata, ujian saringan tifoid itu dijalankan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama tiga hari yang bermula semalam.

"Usaha ini adalah untuk mengawal jangkitan daripada menular dan setakat ini kes terkawal.

"Ujian saringan ini juga bagi memastikan pelajar dan kakitangan lain bebas daripada terkena jangkitan tifoid," katanya di sini, hari ini.

Justeru, Dr Zaini menasihatkan kepada orang ramai supaya sentiasa menjaga kesihatan diri bagi mengelakkan sebarangan jangkitan yang serius termasuk tifoid.

Terdahulu media melaporkan, lima daripada 22 pelajar di sebuah sekolah menengah di Kota Bharu disahkan dijangkiti tifoid atau demam kepialu.

Dr Zaini berkata, seramai 17 pelajar lagi sedang disaring di bilik isolasi di Hospital Tumpat dan Hospital Tengku Anis di Pasir Puteh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 9:44 AM