DATUK Dr Zaini Hussin
DATUK Dr Zaini Hussin
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kes taun atau kolera yang dicatatkan di Kelantan yang terakhir adalah pada 2013 iaitu satu kes.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, dalam tempoh lapan tahun iaitu pada 2014 hingga tahun ini tiada kes taun yang direkodkan.

Katanya, kejadian kes penyakit bawaan air dan makanan di negeri ini tahun lalu adalah sebanyak 159 kes iaitu masing-masing 155 kes adalah keracunan makanan (KRM) dan empat demam kepialu atau tifoid.

"Pada 2019, sebanyak 914 kes yang membabitkan penyakit bawaan air dan makanan dicatatkan iaitu 899 KRM, 14 demam kepialu dan satu kes disentri.

"Penyakit ini disebabkan pencemaran air dan makanan yang diambil oleh pesakit yang menyebabkan gejala cirit birit dan muntah atau demam.

"Justeru itu, kita menasihatkan kepada semua supaya sentiasa menjaga kebersihan untuk mengelakkan jangkitan ini yang memberi kesan kepada tahap kesihatan sekiranya tidak dicegah daripada awal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Zaini berkata, orang ramai perlu pastikan air yang diminum bersih dan dimasak dengan sempurna atau minum air yang dibotolkan.

Beliau berkata, sentiasa makan makanan yang dimasak dan masih panas dan jika makan buah-buahan perlu dikupas kulit serta elakkan makan makanan mentah.

"Dapatkan rawatan segera sekiranya mengalami demam, cirit-birit, muntah dan sebagainya. Patuhi nasihat yang diberikan oleh petugas kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 12:30 PM