FOTO Ihsan KPDN
FOTO Ihsan KPDN
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Menyedari kenderaan diekori, penyeludup membawa muatan diesel cuba melarikan diri dengan memecut hingga terbabas sebelum dicekup di perkarangan hospital di sini.

Sebelum itu, suspek yang memandu kereta jenia Proton Gen 2 itu memecut kenderaannya sejauh 20 kilometer bermula dari Bachok sebaik menyedari diekori pihak berkuasa.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, kejadian itu berlaku jam 12 tengah hari semalam ketika pasukannya menjalankan Op Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan.

"Pasukan kami mengesan Proton Gen 2 dengan pendaftaran tempatan dalam keadaan mencurigakan berlegar-legar di jalan raya sekitar Bachok menghala ke Kota Bharu.

"Pemandunya dikesan membuat pembelian berulang di beberapa stesen minyak dipercayai untuk tujuan penyelewengan.

"Seterusnya pasukan mengekorinya dan sebaik menyedarinya, suspek terus memecut kenderaannya untuk melarikan diri sehingga memasuki kawasan Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azman berkata, pemandu kereta itu cuba sedaya upaya untuk meloloskan diri namun dengan bantuan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok dan Kota Bharu, suspek berjaya ditahan sebaik kenderaan itu terhalang di longkang mengakibatkan tayar keretanya pecah.

Katanya lagi, pemeriksaan dalam kereta terbabit menemui 800 liter diesel yang diisi dalam 32 tong plastik dengan anggaran nilai RM1,720.

"Suspek yang berusia 29 tahun itu juga ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 11:15 AM