Proton Gen2 berpendaftaran tempatan yang memuatkan 1,950 liter petrol dipercayai untuk diseludup ke Thailand berjaya dirampas di Kampung Delima, Wakaf Bharu. FOTO IHSAN KPDN
Proton Gen2 berpendaftaran tempatan yang memuatkan 1,950 liter petrol dipercayai untuk diseludup ke Thailand berjaya dirampas di Kampung Delima, Wakaf Bharu. FOTO IHSAN KPDN
Siti Rohana Idris


Tumpat: Kelibat seorang lelaki di dalam perkarangan sebuah masjid di Kampung Delima, Wakaf Bharu membongkarkan cubaan kegiatan penyeludupan petrol.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, lelaki itu dikesan berada dalam perkarangan masjid jam 11.30 pagi semalam bersama kenderaannya yang memuatkan sejumlah petrol untuk diseludup ke negara jiran.

"Dalam Op Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, semalam, kita percaya lelaki itu sedang menunggu rakan lain sebelum kerja membawa petrol ke pangkalan haram diteruskan.

"Ketika pasukan kami memasuki kawasan masjid terbabit, suspek terus melarikan diri ke dalam semak berhampiran dan gagal dikesan.

"Pemeriksaan lanjut menemui 1,950 liter minyak petrol yang dimuatkan dalam dua kenderaan jenis Proton Gen2 dan Wira Aeroback dengan pendaftaran tempatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, terdahulu suspek dikesan mengisi petrol dalam tangki ubahsuai serta beberapa tong plastik di beberapa stesen minyak sekitar Pasir Pekan.

Katanya lagi, semua petrol itu dipercayai untuk dibawa ke mana-mana pangkalan haram di Pengkalan Kubor sebelum memasuki Thailand melalui Sungai Golok.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 3:13 PM