BANGUNAN KDN.
BANGUNAN KDN.
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan terhadap penerbitan buku 'When I Was A Kid 3'.

Perintah terhadap buku tulisan Cheeming Boey itu dibuat melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 283 bertarikh 25 September 2023.

KDN memaklumkan pewartaaan perintah larangan itu selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

"Ia menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan itu adalah dilarang secara mutlak di Malaysia," katanya menerusi kenyataan hari ini.

KDN berkata, kerajaan menyatakan komitmen yang berterusan dalam melaksanakan tindakan kawalselia penerbitan khususnya bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman dan gerakan bercanggah dengan sosiobudaya tempatan yang boleh mengancam keharmonian dan perpaduan nasional demi kesejahteraan bersama.

Justeru, hasil penerbitan terbabit dikenakan tindakan perintah larangan kerana ia adalah hasil penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan moral, kepentingan awam, dan kepentingan negara dengan menimbulkan kebimbangan dan kegelisahan dalam kalangan masyarakat.

"Adalah diingatkan bahawa, berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, mana-mana individu yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud, adalah melakukan kesalahan dan boleh dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

"KDN sekali lagi ingin menyatakan komitmen dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam melalui tindakan penyeliaan dan kawalan terhadap penerbitan bagi membanteras penyebaran elemen, fahaman, dan gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan dari semasa ke semasa secara berterusan selaras peruntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984," katanya.

KDN sebelum ini mengharamkan penjualan buku novel grafik berkenaan selepas terdapat bantahan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Indonesia.

Buku ditulis pada 2014 oleh penulis Malaysia yang lahir di Singapura dikenali sebagai Cheeming Boey, 45, yang kini menetap di Amerika Syarikat itu menceritakan mengenai zaman kanak-kanaknya.

Bagaimanapun, pada Jun lalu, beberapa rakyat Indonesia yang diketuai NGO Corong Rakyat mengadakan bantahan di luar Kedutaan Malaysia di Jakarta terhadap penerbitan buku itu kerana mendakwa satu daripada petikan dalam buku terbabit menceritakan mengenai seorang pembantu rumah warga Indonesia yang bekerja di Malaysia dan dikritik secara tidak adil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 4:06 PM