TN Alagesh


Raub: Pemandu bas persiaran yang terbabit kemalangan yang mengakibatkan dua kematian di Kilometer (KM) 16.5 Jalan Genting Highlands, 29 Jun lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

S Anand Kumar, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dihadapi ketika kedua-duanya dibacakan di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya dan Seksyen 26(1) kerana memandu tanpa lesen yang sah.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid, manakala Anand tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian 29 Jun lalu, bas persiaran membawa 18 penumpang warga asing dan tiga warga tempatan terdiri pemandu bas, pembantunya dan pemandu pelancong, terbabas sebelum melanggar tembok tengah pembahagi jalan di KM 16.5 jalan turun Genting Highlands, Bentong menuju ibu negara.

Semua mangsa berjaya dibawa keluar dari bas, manakala dua lagi penumpang lelaki yang juga pelancong warga China disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

TERTUDUH (dua kiri) di Mahkamah Majistret Raub. FOTO TN Alagesh
TERTUDUH (dua kiri) di Mahkamah Majistret Raub. FOTO TN Alagesh

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 12:31 PM