DUA penumpang maut selepas bas persiaran terbabas dan terbalik di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands. FOTO ihsan bomba
DUA penumpang maut selepas bas persiaran terbabas dan terbalik di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands. FOTO ihsan bomba
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) akan menggantung sementara lesen operasi syarikat pelancongan yang terbabit insiden bas terbalik sehingga menyebabkan kematian dua warga China dan 13 cedera di Kilometer (KM) 16.5 Jalan Turun Genting Highlands, Pahang, semalam.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, tindakan itu diambil sementara menunggu laporan penuh siasatan kes kemalangan berkenaan.

"Saya sudah mengarahkan kementerian menjalankan siasatan terhadap syarikat pelancongan itu kerana difahamkan mereka mempunyai subline (pihak ketiga).

"Saya juga menerima aduan daripada mangsa bahawa bas dinaiki tidak berapa sesuai dengan tiada pendingin hawa dan berbunyi bising. Mereka datang enam hari lima malam dan bas tukar sebanyak tiga kali, ini membuktikan bas tidak diselenggara dengan baik.

"Itulah sebabnya saya sentiasa beritahu semua syarikat pelancongan mesti bersedia menerima pelancong dari luar negara," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa kemalangan bas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, hari ini.

Turut hadir, Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yuging.

Seramai lapan mangsa kemalangan yang menerima rawatan di hospital dilaporkan stabil.

Mengulas lanjut, Tiong berkata, satu mesyuarat khas membabitkan kementeriannya bersama Kementerian Pengangkutan akan diadakan pada Selasa ini, bagi membincangkan mengenai siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata, antara yang akan dibincangkan termasuk prosedur operasi standard (SOP) membabitkan syarikat pelancongan dan bas persiaran yang di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, pihaknya memandang serius mengenai isu keselamatan pelancong asing yang mendapatkan khidmat syarikat pelancongan di negara ini.

"Saya sudah minta kementerian segerakan siasatan pendek bermula esok dan selepas siasatan penuh mendapati ada kesalahan, maka kami akan membatalkan lesen syarikat terbabit," katanya.

Beliau turut memohon maaf kepada kesemua mangsa yang terbabit nahas berkenaan dan berharap kejadian sama tidak berulang lagi.

Dalam kejadian jam 10.35 pagi semalam, bas persiaran yang membawa 18 penumpang warga asing dan tiga warga tempatan terdiri daripada pemandu bas, pembantunya dan pemandu pelancong terbabas sebelum melanggar tembok tengah pembahagi jalan di KM 16.5, jalan turun Genting Highlands, Bentong menuju ke ibu negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 10:47 AM