Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Nazli Rasyid Sulong.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Nazli Rasyid Sulong.
Wartawan HM


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menganjurkan Pertandingan Debat Antirasuah Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2024 kali ke-5 bermula 7 Jun ini.

Pertandingan mendapat kerjasama Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (Madum), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (Amar).

Sebanyak 40 pasukan membabitkan seramai 160 peserta daripada institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara sudah mengesahkan penyertaan mereka.

Sambutan menggalakkan ini menunjukkan pembabitan serius penuntut IPT dalam penerimaan mesej anti rasuah melalui pertandingan debat ini.

Ia akan berlangsung selama tiga hari di Undercroft, Kompleks Canselor, UTP Seri Iskandar, Perak.

Pertandingan akhir akan disiarkan secara langsung di platform Facebook, Twitter dan You Tube Astro Awani, selain DBP, SPRM serta UTP.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Nazli Rasyid Sulong berkata, objektif pertandingan ini ialah membentuk mahasiswa agar sentiasa peka dengan keadaan semasa.

Menurutnya, mereka juga perlu berani menyuarakan pendapat berkenaan isu rasuah serta salah guna kuasa selain mewujudkan mahasiswa yang mengangkat nilai amanah dan ketelusan sebagai salah satu nilai teras.

"Saya berharap pertandingan debat ini menjadi wadah dalam mempraktikkan nilai integriti dalam berpasukan.

"Selain melahirkan mahasiswa yang kreatif dan intelektual ke arah negara bebas rasuah serta meraih sokongan mahasiswa dalam usaha pencegahan rasuah di negara ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pertandingan debat antirasuah yang diperkenalkan sejak 2019 akan menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya dengan format Debat Ala Parlimen atau Asian Parliamentary Debate.

Seramai 60 juri terdiri daripada pakar dalam pengucapan awam, gaya bahasa serta isu-isu semasa berkaitan rasuah akan mengadili debat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 5:27 PM