PERTANDINGAN Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2021 akan bermula 22 hingga 24 Oktober ini.
PERTANDINGAN Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2021 akan bermula 22 hingga 24 Oktober ini.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Hadiah keseluruhan bernilai RM11,000 menanti empat pemenang bertuah Pertandingan Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2021 bermula 22 hingga 25 Oktober ini.

Pertandingan itu dianjurkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Majlis Debat Universiti Malaysia (Madum), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor berkata, objektif pertandingan itu ialah membentuk mahasiswa supaya sentiasa peka dengan keadaan semasa dan berani menyuarakan pendapat berkenaan isu rasuah dan integriti selain mewujudkan mahasiswa yang memartabatkan nilai ketelusan sebagai salah satu nilai teras kehidupan.

Katanya, seramai 140 peserta daripada 40 pasukan di institut pengajian tinggi awam (IPTA), institut pengajian tinggi swasta (IPTS), Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Pendidikan MARA (IPMa) mengambil bahagian dan mengesahkan penyertaan.

"Pertandingan debat ini adalah wadah dalam mempraktikkan nilai integriti dalam berpasukan selain melahirkan mahasiswa yang kreatif dan intelektual ke arah negara bebas rasuah.

"Ia juga menarik sokongan mahasiswa dalam usaha pencegahan rasuah di negara ini.

"Sambutan menggalakkan ini menunjukkan pembabitan serius penuntut institut pengajian tinggi (IPT) dalam penerimaan mesej antirasuah melalui pertandingan ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, pertandingan format Debat Ala Parlimen dalam bahasa Melayu itu akan diadili mereka yang pakar dalam seni pengucapan awam, gaya bahasa serta isu semasa berkaitan rasuah.

"Antara juri yang akan mengadili pertandingan ini adalah daripada Madum, DBP serta SPRM.

"Juara pertandingan kali ini akan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 diikuti naib juara RM3,000 manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing RM1,500," katanya.

Pertandingan Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya akan disiarkan secara langsung menerusi laman media sosial Facebook dan YouTube MACCfm.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 12:33 PM