SERAMAI 41 kakitangan YBR melafazkan Ikrar Bebas Rasuah hari ini. FOTO Ihsan YBR
SERAMAI 41 kakitangan YBR melafazkan Ikrar Bebas Rasuah hari ini. FOTO Ihsan YBR
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Yayasan Bank Rakyat (YBR) hari ini menandatangani dan melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bagi menzahirkan prinsip tolak amalan rasuah di dalam organisasi berkenaan.

Lafaz ikrar ini membabitkan 41 kakitangan diketuai Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan disertai barisan pengurusan kanan YBR,

Ia disaksikan Ketua Cawangan Kerajaan dan Agensi, Pendidikan Masyarakat (PenMas) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Kanan Pesuruhjaya Samsul Salip.

Syaiful Rizal dalam ucapannya berkata, inisiatif ini diharapkan dapat memberi pendedahan kepada warga kerja untuk mengamalkan budaya kerja baik, bebas rasuah, meningkatkan disiplin dan integriti serta sikap tanggungjawab dalam tugas yang diamanahkan.

"Ini adalah satu permulaan supaya warga kerja YBR sentiasa berwaspada dan tidak berkompromi dengan sebarang aktiviti tidak bermoral membabitkan rasuah melalui wang ringgit, penyalahgunaan kuasa serta pemberian dan penerimaan hadiah.

"Berdasarkan kajian skor ketelusan tertinggi yang dijalankan oleh Wiki Impact, YBR disenaraikan sebagai satu daripada tujuh yayasan yang mendapat markah penuh dalam penilaian yang dijalankan.

"Kajian ini membabitkan 1,600 yayasan di Malaysia," katanya.

Menurutnya, YBR turut menerima Anugerah 'Foundation Of The Year' bagi kategori perbankan di Majlis Anugerah Kelestarian Dan CSR Malaysia 2023 pada 26 Julai lalu.

Ia atas inisiatif dijalankan oleh YBR dalam meningkat sosio ekonomi melalui pendidikan serta program kemasyarakatan yang dijalankan sepanjang 2022.

Dalam pada itu, Syaiful Rizal berkata, YBR juga berhasrat bekerjasama dengan SPRM bagi mengadakan program pendidikan melalui pendedahan mengenai amalan rasuah dalam kalangan pelajar, mahasiswa serta golongan belia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 7:14 PM