Norazlan (berkot biru) bergambar bersama 118 ahli AMAR dari seluruh negara. FOTO Ihsan AMAR
Norazlan (berkot biru) bergambar bersama 118 ahli AMAR dari seluruh negara. FOTO Ihsan AMAR
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Banting: Tidak hanya memfokuskan kakitangan kerajaan malah golongan mahasiswa turut menjadi ejen penyebaran mesej antirasuah kepada rakyat.

Mesej itu cuba disampaikan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) melalui kerjasama strategik bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menyampaikan mesej antirasuah kepada golongan mahasiswa di negara ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, ini kerana matlamat itu bukan tugas mudah untuk menyampaikan mesej antirasuah kepada lebih satu juta penuntut di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik dan pelajar di Kolej Komuniti seluruh negara.

Beliau berkata, pelaksanaan program pencegahan rasuah harus dilaksanakan dengan strategi berkesan dan efisyen supaya visi AMAR untuk mewujudkan generasi muda yang membenci rasuah dapat direalisasikan.

"Pelbagai kajian oleh para ilmiah dan pertubuhan antarabangsa mendapati pergerakan seumpama AMAR ini adalah komponen penting dan mampu menarik sokongan daripada pertubuhan dalam dan luar negara.

"Sebagai contoh, pergerakan antirasuah diterajui oleh penuntut di Thailand iaitu Thai Youth Anti-Corruption Network yang ditubuhkan pada 2012. Ia mendapat sokongan kuat daripada United Nations Development Programme dan kerjasama dengan sektor swasta lain seperti Thai Chamber of Commerce, Thai Bankers' Association dan Stock Exchange of Thailand (SET)," katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutupan Konvensyen AMAR 2022 kali ke-8 di Kem El- Azzhar, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor dan Pengarah SPRM Selangor, Dato' Alias Salim.

Pada majlis itu seramai 118 mahasiswa membabitkan pemimpin AMAR dari IPTA, IPTS, Institusi Pendidikan MARA dan Institut Pendidikan Guru seluruh negara terbabit dalam konvensyen selama tiga hari yang bermula sejak Jumaat lalu.

Pada majlis itu juga sebanyak empat institusi pengajian tinggi (IPT) dipilih sebagai IPT Terbaik iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi Universiti Awam Terbaik; Smart College Kuala Lumpur (Universiti Swasta Terbaik); Kampus Tun Hussein Onn Johor (Institut Pendidikan Guru Terbaik) dan Kolej Universiti Poly-Tech MARA (Institut Pendidikan MARA Terbaik).

Sementara itu, Presiden AMAR, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Nur Raihana Azizee, 23, berkata, dia merancang untuk menganjurkan seminar dan kursus dengan memfokuskan kepada misi dan visi AMAR membabitkan lebih 71 ahli AMAR di UMS.

Beliau berkata, banyak manfaat diperoleh menerusi konvensyen ini seperti bertukar pendapat dan maklumat untuk mengadakan seminar yang berskala besar pada masa akan datang.

Bagi Presiden AMAR, Kolej Universiti Poly-Tech MARA Kuala Lumpur, Asniati Ambo, 22, berkata, dia ketika ini sedang menganjurkan pertandingan TikTok bertemakan integriti dan jati diri membabitkan semua pelajar di universiti ini sempena bulan kemerdekaan.

"Walaupun, kelab AMAR baru ditubuhkan tahun lalu, kami sentiasa mengadakan slot ceramah dan kuiz integriti setiap kali pendaftaran pelajar baru diadakan," katanya.

Sementara itu, Presiden AMAR Smart College Kuala Lumpur, Nik Muhammad Aizat Aiman Abdullah, 20, berkata dia bercadang menganjurkan lebih banyak program untuk menggalakkan lebih ramai pelajar menyertai kelab AMAR ini.

"Kita harus mengajar mereka membenci rasuah dari sekarang dan apabila mereka keluar selepas tamat belajar, mereka akan menjadi mahasiswa yang antirasuah," katanya.

caption

Datuk Seri Norazlan Mohd Razali Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM (berkot biru) bergambar bersama 118 AMAR dari seluruh negara yang menyertai Konvensyen AMAR Kali Ke-8 Tahun 2022 di Banting, Selangor

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 11:58 PM