Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menafikan dakwaan bahawa penutupan beberapa pasar utama dan hentian bas disebabkan berlakunya penularan pandemik Covid-19.

Datuk Bandar MBKT, Shahidan Embok menjelaskan, penutupan sementara beberapa pasar utama dan hentian bas dilakukan bagi melancarkan operasi sanitasi sebagai langkah keselamatan dan pencegahan bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19.

Jelasnya, penutupan beberapa pasar utama serta hentian bas MPKT hanya membabitkan malam hari dan bukannya pada waktu siang.

"Operasi sanitasi terpaksa dilakukan malam hari bagi mengelakkan aktiviti peniaga dan orang ramai terganggu.

"Operasi sanitasi di semua kawasan tumpuan orang ramai termasuk pasar utama dan hentian bas dilakukan secara berkala untuk memastikan tiada berlaku perebakan pandemik Covid-19," katanya kepada sidang media selepas memantau kerja sanitasi di Hentian Bas MBKT, di sini, awal pagi ini.

PETUGAS MBKT sedang melakukan proses sanitasi di Hentian Bas MBKT awal pagi ini. FOTO Baharom Bakar
PETUGAS MBKT sedang melakukan proses sanitasi di Hentian Bas MBKT awal pagi ini. FOTO Baharom Bakar

Mengulas lanjut, Shahidan menjelaskan, MBKT akan meneruskan pelaksanaan operasi pembersihan sanitasi secara menyeluruh di semua kawasan tumpuan orang ramai termasuk di pasar utama dan hentian bas.

"Sejak awal bulan ini, kita sudah melakukan dua kali operasi sanitasi di Pasar Besar Kedai Payang dan di Pasar Borong Kampung Gong Pauh serta di hentian bas MBKT.

"Pasar lain yang sudah menjalani proses sanitasi adalah Pasar Bukit Besar, Pasar Kampung Laut, Pasar Cabang Tiga, Pasar Manir, Pasar Kedai Buloh dan Pasar Gelugor Kedai," katanya.

Shahidan meminta orang ramai supaya sentiasa mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Jelasnya, kerajaan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk MBKT sudah melaksanakan pelbagai langkah pencegahan bagi memastikan keselamatan orang ramai dijangkiti virus Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 3:11 PM