ROSLI ketika mengadakan sidang media khas mengenai isu penutupan premis perniagaan setiap Jumaat. FOTO Baharom Bakar
ROSLI ketika mengadakan sidang media khas mengenai isu penutupan premis perniagaan setiap Jumaat. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memaklumkan tindakan tegas akan diambil ke atas pemilik pasar raya, restoran dan kedai makan yang beroperasi mulai jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang pada Jumaat.

Bagaimanapun, tindakan itu hanya membabitkan restoran, kedai makan, restoran makanan segera dan pasar raya milik Muslim.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, restoran dan kedai makan diusahakan bukan Islam serta hotel dikecualikan daripada arahan penutupan itu.

"Kita juga bersetuju membenarkan kedai makan dan restoran Muslim diusahakan golongan wanita untuk beroperasi, tetapi perlu meminta kebenaran khas daripada MBKT.

"Kita ingin jelaskan bahawa premis yang terbabit dengan arahan penutupan hanya membabitkan pasar raya, restoran termasuk restoran makanan segera dan kedai makan Muslim saja," katanya ketika sedang media khas di bilik mesyuarat Kompleks MBKT, di sini, hari ini.

Semalam, MBKT mengeluarkan pekeliling arahan penutupan semua pasar raya, restoran dan kedai makan selama dua jam bermula jam 12.30 tengah hari hingga jam 2.30 petang setiap Jumaat.

Mengulas lanjut, Rosli mengakui notis penutupan operasi perniagaan dikeluarkan pada 2 Januari lalu adalah secara umum.

Katanya, MBKT bersetuju memperincikan semula notis arahan penutupan itu bagi mengelakkan berlakunya salah faham dan ketidakfahaman kalangan peniaga serta masyarakat.

"Sukacita dimaklumkan hanya premis milik Muslim yang terbabit dengan penutupan, manakala premis bukan Islam boleh beroperasi.

"Notis arahan penutupan premis perniagaan dikeluarkan selepas kita mengambil kira semua faktor dan kepentingan beberapa sektor tertentu yang akan menerima kesan daripada pelaksanaan penutupan," katanya.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, arahan penutupan operasi restoran dan kedai makan dikeluarkan selepas beberapa lelaki Islam ditangkap sedang makan dan minum ketika solat Jumaat.

Katanya, pemilik restoran termasuk restoran makanan segera dan kedai makan Muslim yang berdegil dan gagal mematuhi arahan penutupan berkuat kuasa Jumaat ini akan dikenakan tindakan kompaun sehingga RM1,000.

"Jika masih berdegil, tindakan pembatalan lesen perniagaan akan dikenakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 4:17 PM