Peniaga di Taman Selera Kampung Tiong. FOTO ARKIB NSTP
Peniaga di Taman Selera Kampung Tiong. FOTO ARKIB NSTP
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) diminta menangguhkan arahan mengosongkan premis perniagaan di Taman Selera Kampung Tiong di sini, sehingga tahun depan.

Penangguhan mengosongkan premis perniagaan itu disuarakan kira-kira 50 peniaga pada perjumpaan khas diadakan bersama Jawatankuasa Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Terengganu di sini, hari ini.

Bagaimanapun, peniaga kedai makan dan minum itu tidak membantah cadangan MBKT untuk membangunkan kawasan itu dengan projek pembinaan pangsapuri setinggi 30 tingkat.

Ketua Bersekutu Bersatu Terengganu Lim Chiew Sieng berkata, peniaga yang menjalankan perniagaan di taman selera itu sejak 40 tahun lalu sedar bahawa tanah yang dibina gerai makanan dan minuman terbabit adalah hak milik MBKT.

Menurutnya, peniaga juga akur dengan arahan mengosongkan premis perniagaan itu kerja-kerja awalan pembinaan pangsapuri dikeluarkan MBKT.

"Tetapi mereka minta tarikh akhir mengosongkan gerai jualan ditetapkan pada 30 November depan dilanjutkan sehingga tahun depan.

"Pada perjumpaan kira-kira dua jam dengan peniaga di kawasan itu, mereka minta kerajaan negeri dan MBKT melanjutkan tarikh akhir penempatan semula sehingga sambutan Tahun Baru Cina pada Februari tahun depan," katanya.

Awal bulan lalu, MBKT mengeluarkan notis pengosongan premis di taman selera terbabit yang terletak di Kampung Cina di sini, bagi memberi laluan kepada kerja awalan projek pembangunan 30 tingkat pangsapuri di kawasan berkenaan.

Peniaga diberi tempoh sehingga 30 November hadapan untuk mengosongkan premis perniagaan dan tindakan undang-undang akan diambil ke atas peniaga yang gagal mematuhi arahan dikeluarkan.

Mengulas lanjut, Sieng berkata, surat rayuan daripada peniaga akan diserahkan pada perjumpaan khas dengan Datuk Bandar Kuala Terengganu Rosli Latif pada minggu depan.

"Kita mewakili peniaga juga akan mengemukakan surat rayuan itu kepada kerajaan negeri dan Menteri Besar Teengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

"Kita tegaskan, peniaga tidak membantah projek pembangunan akan dilakukan di kawasan berkenaan, tetapi kita hanya merayu agar tempoh arahan pengosongan dilanjutkan sehingga Februari depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 2:54 PM