GAMBAR hiasan. Peniaga di Pasar Payang. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Peniaga di Pasar Payang. FOTO arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT)akan menaikkan kadar sewa Pasar Payang 1 dan Pasar Payang 2 bermula Januari tahun depan.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif berkata, ia membabitkan kenaikan kadar sewa sehinggaRM50 seunit bagi menampung kos penyelenggaraan yang tinggi serta menaik taraf kemudahan demi keselesaan dan keselamatan peniaga serta pengunjung.

"Ketika ini, kadar sewa yang dikenakan kepada peniaga di Pasar Payang 2 adalah antara RM30 hingga RM330 sebulan dan kali terakhir semakan dibuat adalah pada 1997 iaitu 27 tahun yang lalu.

"Setiap tahun kos operasi termasuk penyelenggaraan sentiasa meningkat dan ia tidak seiring dengan kadar sewa yang dipungut oleh MBKT.

"Situasi ini menyukarkan MBKT melaksanakan pelbagai pelan yang dirancang seperti memasang kamera keselamatan tertutup (CCTV) dan kemudahan lain untuk peniaga serta pengunjung," katanya pada sidang media di Menara MBKT di sini, hari ini.

Rosli berkata, keputusan menaikkan kadar sewa juga bagi mengelak berlakunya sewaan premis kepada pihak ketiga disebabkan kadar bayaran yang sangat rendah.

Katanya, MBKT sudah mengambil tindakan membatalkan lesen lebih 10 peniaga yang didapati memberi sewa premis kepada pihak ketiga dengan bayaran sehingga 10 kali ganda lebih tinggi berbanding kadar sewa asal.

"Kita dapati ada peniaga yang menyewa lot Pasar Payang dengan kadar asal RM70 tetapi disewakan kembali dengan harga RM700.

"Ada juga yang sewa tetapi tak berniaga. Mereka tidak kisah untuk bayar sewa RM70, RM100 sebulan kerana nilai itu sangat rendah dan ini tidak memenuhi matlamat kita untuk menjana ekonomi rakyat.

"Dalam kes ini, kita akan tarik balik hak sewaan dan kalau ada kes lebih teruk, MBKT tidak akan teragak-agak untuk senarai hitam peniaga berkenaan," katanya.

Sementara itu, Rosli berkata, Pasar Payang 1 yang dibina dengan kos RM69.3 juta akan mula beroperasi secara berperingkat mulai 1 Julai depan.

Katanya,bangunan setinggi dua tingkat itu akan dibahagikan kepada mengikut jenis perniagaan bagi memastikan suasana yang lebih tersusun dan kemas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 2:16 PM