SYED Hussein (empat dari kiri) menyaksikan pertukaran MoU antara Dzulkifli (tiga dari kiri) bersama Dr Wan Mohd Azizi (tiga dari kanan). FOTO Salhani Ibrahim
SYED Hussein (empat dari kiri) menyaksikan pertukaran MoU antara Dzulkifli (tiga dari kiri) bersama Dr Wan Mohd Azizi (tiga dari kanan). FOTO Salhani Ibrahim
Mohd Khairul Anam Md Khairudin

UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor menjalin kerjasama strategik dengan Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS (PICOMS) dalam bidang pendidikan dan penyelidikan menerusi majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU).

MoU itu juga bertujuan menggalakkan kerjasama dan manfaat yang bakal diperoleh kedua-dua pihak terutama dalam bidang sains perubatan serta pengurusan.

UIAM diwakili Rektornya, Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Timbalan Rektor (Tanggungjawab Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Ahmad Hafiz Zulkifli, manakala PICOMS diwakili Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Naib Canselornya, Prof Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman serta Pendaftarnya, Norita Arshad.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) merangkap Ahli Lembaga Gabenor UIAM, Datuk Seri Syed Hussein AlHabshee.

Sementara itu, Syed Hussein berkata, melalui jaringan kolaborasi berkenaan universiti diharap dapat memberi penekanan terhadap potensi pasaran penghasilan gelatin halal pada peringkat antarabangsa.

“Dalam hal ini, saya bercadang untuk bekerjasama dengan pihak UIAM Holdings khususnya dalam mengkomersilkan lagi bidang farmaseutikal, malah projek ini jika dilaksana boleh direalisasikan dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya.

Pemilihan UIAM sebagai rakan strategik PICOMS adalah berdasarkan kemajuan dan pencapaian universiti itu dalam dunia Islam mahupun antarabangsa khususnya membabitkan penyelidikan serta pengeluaran produk halal.

PICOMS juga akan melebarkan sayapnya ke Jerman untuk program penempatan antarabangsa dalam bidang kejururawatan pada masa terdekat, di samping berhasrat untuk menubuhkan universiti berkonsep wakaf dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Waqaf Antarabangsa UIAM, di bawah naungan MAIWP.

Langkah murni itu sejajar dengan usaha menggalakkan lagi kemajuan sistem pendidikan berteraskan nilai Islam di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 9:50 AM