MINA. FOTO AFP
MINA. FOTO AFP
Syuhada Choo Abdullah

Makkah: Isu ruang sempit dalam khemah jemaah yang bermabit di Mina boleh ditangani dengan mempelbagaikan pilihan yang masih memenuhi hukum wajib haji.

Bekas Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji (Lembaga Tabung Haji/TH - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia/JAKIM), Datuk Dr Juanda Jaya berkata antara cadangan ialah jemaah ditempatkan di kawasan Mina-Muzdalifah atau dikenali sebagai Mina Dua.

"Menerusi pilihan ini, jemaah haji boleh berulang alik antara Mina dengan Mina Dua bagi memastikan keselesaan mereka.

"Hukumnya adalah harus kerana yang penting, jemaah mesti berada di bumi Mina selepas waktu separuh malam walaupun hanya sesaat. Ibadah mabit dikira sebagai sah, dan jemaah boleh keluar semula dari Mina selepas itu. Malah, melintas saja pun sudah sah ibadah mabit di Mina.

"Khemah juga boleh diwujudkan di kawasan Muzdalifah yang lebih luas. Bagaimanapun, perkara ini memerlukan persetujuan daripada pihak Kerajaan Arab Saudi sebagai tuan rumah," katanya ketika dihubungi.

Sebagai rekod, Juanda adalah Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji (TH-JAKIM) dari 2000 hingga 2009, selain berpengalaman sebagai guru agama serta Pakar Rujuk Ibadah Haji TH di Tanah Suci (1997 - 2009) dan juga Pengerusi panel penulis buku Panduan Ibadat Haji terbitan TH untuk jemaah haji Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan isu ruang sempit dalam khemah di Mina mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan keprihatinan baginda terhadap kebajikan jemaah Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, dipetik berkata beliau menerima teks pesanan secara peribadi daripada Seri Paduka yang mahu perkara itu diteliti dan ditangani.

Justeru, Mohd Na'im berkata, beliau telah berbincang dengan pihak pengurusan tertinggi TH supaya Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji (TH-JAKIM) memikirkan ijtihad baharu dalam usaha mengatasi isu berkenaan, terutama dari aspek bermabit di Mina.

Beliau berkata, langkah itu perlu kerana sekiranya masih berpegang kepada ijtihad lama, masalah kesesakan dalam khemah di Mina yang berlaku saban tahun lebih-lebih lagi dengan peningkatan jumlah jemaah haji, akan berterusan berikutan keluasan kawasan terbabit tidak berubah dan ditetapkan oleh hukum.

Mengulas lanjut, Juanda yang juga bekas Mufti Perlis berkata, satu lagi alternatif yang boleh diterokai dalam menangani isu sama ialah menempatkan sebahagian jemaah Malaysia di Aziziyah.

"Bagi pilihan ini, penginapan kumpulan jemaah yang lewat memasuki Makkah berkemungkinan boleh ditempatkan di Aziziyah yang lebih selesa. Walaupun jauh dari Masjidil Haram, mereka akan lebih selesa untuk ke Mina, Muzdalifah serta Arafah ketika operasi masyair.

"Namun, perbincangan dengan pihak berkuasa Arab Saudi amat penting bagi memastikan ada penyelarasan dan keselesaan jemaah berkenaan tidak terganggu dengan perjalanan serta kesulitan penginapan yang lain," katanya.

Beliau berkata, pelbagai alternatif itu boleh diambil bagi memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah haji Malaysia pada masa depan.

"Sekiranya ada keputusan yang diambil nanti, TH perlu menerangkannya dengan baik kepada jemaah. Insya-Allah dengan cara ini, pertambahan jemaah haji tidak akan menjadi isu kerana opsyen tempat khemah dan penempatan mereka telah dipelbagaikan," katanya.

Juanda menjelaskan bahawa isu kesesakan dalam khemah di Mina sudah wujud sekian lama, lebih-lebih lagi dengan peningkatan jemaah haji dari seluruh dunia berikutan semakin ramai yang berkemampuan mengerjakan ibadah itu.

"Soal kepadatan khemah di Mina bukan hanya menimpa jemaah Malaysia, sebaliknya ia berlaku pada jemaah haji seluruh dunia. Mina adalah tempat ujian kepada jemaah haji. Kawasannya sempit dan jemaah memang akan berasa tidak selesa.

"Jika mengikut hukum, jemaah yang uzur diberikan kelonggaran untuk tidak bermabit di Mina. Namun yang lebih penting ialah memastikan sesiapa yang ingin menunaikan haji itu memenuhi syarat kemampuan dari segi kesihatan, termasuk untuk melakukan ibadah telah ditentukan selama berada di Tanah Suci," katanya

Beliau sekali gus mengucapkan tahniah kepada Mohd Na'im dan TH yang dilihat sentiasa prihatin serta serius dalam usaha memastikan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan jemaah Malaysia sepanjang musim haji.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 12:55 PM