KHEMAH di Mina. FOTO Arkib AFP
KHEMAH di Mina. FOTO Arkib AFP
Syuhada Choo Abdullah

Makkah: Isu ruang sempit di dalam khemah di Mina mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan keprihatinan baginda terhadap kebajikan jemaah Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, beliau menerima teks pesanan secara peribadi daripada Seri Paduka pada pagi semalam yang mahu perkara itu diteliti dan ditangani.

Justeru, katanya, beliau berbincang dengan pihak pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji (TH) supaya Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji (TH-Jabatan Kemajuan Islam Malaysia/Jakim) memikirkan ijtihad baharu dalam usaha mengatasi isu berkenaan, terutama dari aspek bermabit di Mina.

Beliau berkata, langkah itu perlu kerana sekiranya masih berpegang kepada ijtihad lama, masalah kesesakan dalam khemah di Mina yang berlaku saban tahun lebih-lebih lagi dengan peningkatan jumlah jemaah haji, akan berterusan berikutan keluasan kawasan terbabit tidak berubah dan ditetapkan oleh hukum.

"Islam adalah agama yang memberi penyelesaian kepada setiap masalah. Oleh itu, isu ruang sempit dalam khemah sehingga menyebabkan jemaah mengalami kesukaran ketika bermabit di Mina, perlu dilihat semula dan dibincangkan secara teliti oleh jawatankuasa penasihat bagi mencari penyelesaian terbaik dengan ijtihad baharu.

"Tujuannya ialah bagaimana kita hendak memastikan keselesaan sebab ia berkait rapat dengan ibadah. Jika seseorang jemaah itu berasa marah saja kerana tidak selesa, ia akan mengganggu ibadahnya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat TH di Makkah, Abraj Al-Janadriyah.

Turut hadir, Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman; serta Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Mengulas lanjut mengenai ijtihad baharu yang boleh dibincangkan, Mohd Na'im berkata, sebagai contoh, ada negara membenarkan jemaah haji mereka tinggal di luar kawasan masyair dan berulang alik untuk bermabit dalam tempoh jam tertentu di Mina.

Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji (TH-Jakim) terdiri daripada lapan pakar yang antara lain bertanggungjawab memutuskan kedudukan hukum-hakam berkaitan isu ibadah haji yang dirujuk.

Secara umum, jawatankuasa itu akan membawa cadangan kepada Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan sebelum ia dimuktamadkan. Muzakarah terbabit dibarisi antara 300 hingga 400 ilmuwan Islam yang arif dalam urusan ibadah haji. Sebarang keputusan akan turut mengambil kira pelbagai aspek berkaitan seperti peraturan di Arab Saudi, kos dan logistik.

Seterusnya, Mohd Na'im berkata, pengurusan tertinggi TH akan mengadakan mesyuarat post-mortem bagi menilai secara terperinci perjalanan musim haji tahun ini dan mengenal pasti ruang penambahbaikan sebagai persiapan untuk Musim Haji 1445H/2024M.

Katanya, TH juga akan mengadakan mesyuarat penutupan dengan pelbagai kementerian dan agensi penyedia perkhidmatan haji di Arab Saudi.

Sementara itu, Mohd Na'im menasihati jemaah agar sentiasa mengamalkan sifat toleransi, rahmah, kasih sayang, saling memahami, semangat ukhuwah dan bersabar dalam menghadapi ujian ketika melaksanakan ibadah haji.

Beliau berkongsi beberapa insiden di mana terdapat segelintir jemaah bertindak mengasari dan memarahi petugas haji, selain ada yang 'menambah' lapisan tilam sendiri dengan mengambil tilam jemaah lain ketika berada di khemah masyair.

Mohd Na'im sekali gus mengucapkan syabas, tahniah dan terima kasih kepada petugas operasi haji yang menunjukkan komitmen tinggi dalam menyantuni jemaah, dengan menyifatkan mereka sebagai wira tidak didendang.

Beliau turut berterima kasih kepada jemaah Malaysia yang kebanyakannya bertimbang rasa, memberikan kerjasama dan memahami kekangan dihadapi petugas haji.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 8:10 AM