Dr Noor Azmi ketika sidang media seleaps Majlis Perasmian Konvensyen Hospital Mesra Ibadah (HMI) Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Dr Noor Azmi ketika sidang media seleaps Majlis Perasmian Konvensyen Hospital Mesra Ibadah (HMI) Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Samadi Ahmad


Putrajaya: Sebanyak 10 hospital di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) menerima pengiktirafan sebagai Hospital Mesra Ibadah (HMI) kerana menyediakan fasiliti serta khidmat bimbingan untuk pesakit menunaikan ibadah ketika menerima rawatan.

Hospital berkenaan adalah Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu; Hospital Serdang dan Hospital Shah Alam di Selangor; Hospital Taiping dan Hospital Teluk Intan di Perak.

Turut menerima pengiktirafan ialah Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah; Hospital Pulau Pinang; Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat dan Hospital Pontian, Johor serta Institut Kanser Negara di Putrajaya.

Sijil pengiktirafan HMI disampaikan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali kepada wakil-wakil hospital pada Konvokesyen HMI peringkat Kebangsaan 2022 di sini tadi.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Noor Azmi berkata, hospital yang ingin melaksanakan HMI dan sudah menerima pengiktirafan perlu melalui Audit Pengiktirafan Standard HMI setiap tiga bulan untuk pembaharuan.

Katanya, Standard HMI ini mengandungi enam teras iaitu organisasi dan pengurusan, pembangunan dan pengurusan sumber manusia, polisi dan prosedur, peralatan dan kemudahan, aktiviti keselamatan dan peningkatan kualiti serta kerjasama dengan agensi luar.

"Berdasarkan perkembangan di seluruh dunia, saya merasakan perkhidmatan MHI ini adalah hala tuju pendekatan perubatan yang sangat diperlukan dalam Sistem Kesihatan Kebangsaan, "katanya.

HMI adalah cetusan idea Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan pelancarannya diadakan di Hospital Sungai Buloh pada 25 Februari 2014 oleh Timbalan Menteri KKM ketika itu, Dr Datuk Seri Dr Hilmi Yahya.

Noor Azmi berkata, kerjasama strategik ini dapat mengukuhkan hubungan erat antara KKM dan Jakim dalam memberi impak berguna untuk membangun dan menyempurnakan sistem tadbir urus serta perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih bersifat holistik.

Katanya, pelaksanaan HMI ini bertepatan untuk menjadikan ia sebagai asas perkhidmatan penjagaan spiritual di negara ini.

"Ia juga dijangka akan menyumbang kepada kesempurnaan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang holistik dan pendekatan yang semakin diperlukan dalam era dunia perubatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 4:34 PM