MUHAMMAD Yusuk (tengah) terlepas hukuman gantung sampai mati. FOTO Ihsan Peguam.
MUHAMMAD Yusuk (tengah) terlepas hukuman gantung sampai mati. FOTO Ihsan Peguam.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Peniaga barangan dapur terlepas hukuman gantung sampai mati apabila dilepas dan dibebaskan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memiliki dan mengedar dadah berbahaya, pada April 2019.

Tertuduh, Muhammad Yusuk Mohd Nor, 34, menangis gembira selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas membuat keputusan itu.

Mohamad Abazafree dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie pertuduhan ke atas tertuduh.

"Mahkamah mendapati wujudnya pihak ketiga iaitu seorang wanita bernama Miss Mayura Yusof yang mempunyai akses ke atas rumah sewa tempat tertuduh ditangkap.

"Daripada keterangan saksi pendakwaan juga mengesahkan terdapat seorang suspek wanita dan lelaki yang berkait dengan kes itu.

"Oleh itu, pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen bahawa tertuduh mempunyai kawalan ke atas dadah yang dijumpai," katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan dua pertuduhan iaitu mengedar dadah berbahaya iaitu 94.6 gram Methamphetamine di rumah di Taman Seri Mesa, mukim Gual Periok, dekat Pasir Mas, jam 5.30 petang, pada 2 April 2019.

Kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B Akta yang sama iaitu hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Sekiranya mahkamah menjatuhi hukuman penjara seumur hidup, tertuduh hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan.

Mengikut pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki 40.9 gram methamphetamine pada masa dan lokasi yang sama.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) Akta yang sama iaitu hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguambela, Shaharuddin Mohamed dan Azhar Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 6:44 PM