TERTUDUH didenda RM175,950 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini selepas didapati bersalah memiliki dan memperdagangkan kasut pelbagai jenama terkenal tiruan. FOTO L Manimaran
TERTUDUH didenda RM175,950 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini selepas didapati bersalah memiliki dan memperdagangkan kasut pelbagai jenama terkenal tiruan. FOTO L Manimaran
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Dua pengarah dan seorang pengurus masing-masing didenda RM175,950 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan memiliki dan memperdagangkan 17,595 kasut pelbagai jenama terkenal tiruan tiga tahun lalu.

Hakim Norashima Khalid memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Hukuman dijatuhkan terhadap Pengarah Syarikat Enghenda Sdn Bhd, Yap Kian Seng, 60, Sun Haixia, 40, dan pengurusnya, Yap Yin Keat, 50.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan masing-masing tertuduh dikenakan hukuman penjara selama dua tahun bagi keempat-empat pertuduhan jika gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didapati ada dalam kawalan mereka sebanyak 2,290 unit selipar jenama PUMA, 12,011 unit kasut dan selipar jenama NIKE, 2,844 unit kasut jenama GUCCI dan 450 unit selipar LEVI'S.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kawasan Perindustrian Menglembu pada jam 11.30 pagi, 18 Disember 2019.

Justeru mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 (2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 (2) (B) Akta yang sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap barang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjarakan selama tempoh maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam prosiding sama, syarikat turut dikenakan hukuman denda sebanyak RM263,925 atas empat pertuduhan sama.

Bagi kesalahan itu, syarikat melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 (2) (A) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000 bagi setiap barangan yang diletakkan barang dagangan palsu, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan penangguhan denda sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi Ipoh selesai dengan syarat wang jaminan dinaikkan RM50,000 daripada RM10,000 sebelumnya.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, Muhammad Ridzuan Rahim manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Asri Osman dan Mohd Fitri Asmuni.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 1:21 PM