FOTO hiasan.
FOTO hiasan.
Zatul Iffah Zolkiply


SEORANG pekerja kilang keropok menarik nafas lega selepas terlepas hukuman gantung apabila ditawarkan pertuduhan pilihan daripada mengedar kepada memiliki dadah di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, hari ini.

Tertuduh, Ismail Ahmad,39, dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan 23 sebatan selepas mengaku salah terhadap pertuduhan memiliki tiga jenis dadah iaitu kanabis, heroin dan methamphetamine.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed selepas tertuduh mengaku salah terhadap satu pertuduhan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama.

Mengikut pertuduhan pertama pilihan, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 104.51 gram (g) di sebuah rumah di Kampung Losong Haji Su, Kuala Terengganu pada 11 pagi 18 Jun 2019.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang berdepan hukuman mengikut Seksyen 39A(2)(f) akta sama dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan 10 sebatan.

Tertuduh yang masih bujang turut berdepan dua pertuduhan memiliki dadah jenis heroin seberat 13.88g dan methamphetamine seberat 5.60g di lokasi, masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan kedua dan ketiga, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 13 tahun dan 10 sebatan serta tiga tahun dan tiga sebatan.

Bagaimanapun, Abdul Wahab memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 18 Jun 2019.

Sebelum ini, tertuduh menghadapi pertuduhan mengedar mengikut Seksyen 39B (1)(a)ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Kamaruzaman A Wahab.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 9:15 PM