Ahmad Zahid pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sepanggar di Nexus Karambunai, di sini, hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Ahmad Zahid pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sepanggar di Nexus Karambunai, di sini, hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Yun Mikail


Kota Kinabalu: Umno Pusat menafikan wujudnya perpecahan dalam kalangan pemimpin Umno Sabah, kata Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, fokus utama ketika ini adalah memberi mengukuhkan jentera parti.

"Kita mungkin mempunyai pelbagai ideologi namun kemakmuran dalam parti itu tetap dapat dicapai.

"Saya lihat unsur dan elemen berkenaan memang sudah ada dalam Umno tetapi kita hanya perlu memperkukuhkannya sahaja.

"Bagi kerajaan negeri umpamanya, kita lihat mereka sedang mencari formula baharu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

"Tadi ketika berucap, mereka tanya bila kepimpinan Umno pusat dan negeri ingin membuat keputusan keputusan mengenai kerjasama dengan pihak atau gabungan mana.

"Saya beritahu apabila tiba masanya, kita akan pasti membuat keputusan bagi menentukan ke arah mana yang akan kita tuju," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Perasmian Perwakilan Bahagian Umno Sepanggar di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ketua Bahagian Umno Sepanggar, Datuk Yakub Khan.

Mengulas lanjut mengenai keakraban beliau bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika Majlis Perasmian Perwakilan Bahagian Umno Tuaran pagi tadi, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyatakan beliau terbuka serta lebih memilih prinsip berkawan dengan semua pihak.

"Saya mempunyai prinsip mahu berkawan dengan semua pihak dan keputusan seperti saya nyatakan tadi akan dibuat apabila tiba masanya.

"Hajiji adalah kawan lama saya malahan kami sudah saling mengenali sejak zaman USNO lagi.

"Konsep saya ialah musuh seseorang itu adalah musuh dia tetapi kawan seseorang itu adalah kawan saya.

"Oleh sebab itu, saya beritahu walaupun kita tidur bantal lain-lain namun mimpi kita sama.

"Apa yang saya maksudkan ialah kerajaan perpaduan diberikan sokongan sepenuhnya di peringkat nasional tetapi jika berlaku permasalahan di peringkat negeri, kita mencari formula yang sesuai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 7:02 PM