ISMAIL Sabri melancarkan Projek Naiktaraf Jalanraya Bukit Manggis dan Pembinaan Masjid Kedua Pekan Bongawan sempena program Gelombang Biru Barisan Nasional (BN) Zon 3.
ISMAIL Sabri melancarkan Projek Naiktaraf Jalanraya Bukit Manggis dan Pembinaan Masjid Kedua Pekan Bongawan sempena program Gelombang Biru Barisan Nasional (BN) Zon 3.
Rafiqah Dahali


Papar: Barisan Nasional (BN) akan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri masing-masing dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sekiranya parti terbabit dominan untuk membentuk kerajaan di Putrajaya.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan terbabit akan dimasukkan dalam manifesto BN Sabah sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Mengulas lanjut, beliau berkata, ia merupakan satu pendekatan baharu yang dicadangkan pihaknya di mana selain BN Sabah, BN Semenanjung dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga dapat memasukannya sebagai manifesto.

"Saya yakin Perdana Menteri akan terima cadangan ini kerana jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak ada dalam Perlembagaan.

"Hanya ada empat jawatan Menteri Kanan. Jadi tidak mustahil tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (untuk diwujudkan) sekiranya BN menang dengan dominan.

"Maka jawatan itu akan disandang oleh mana-mana peminpin dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia untuk menduduki jawatan penting tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Perasmian Program Gelombang Biru Barisan Naisonal (BN) Zon 3 serta Gimik Pelancaran Projek Naiktaraf Jalan Bukit Manggis dan Projek Pembinaan Masjid Kedua Pekan Bongawan bertempat di Kimanis Commercial Centre, di sini, hari ini.

Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif mewakili Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.

Sementara itu, beliau juga mencadangkan agar BN Sabah memasukkan dalam manifesto mereka agar peruntukan daripada Persekutuan disalurkan terus kepada kerajaan negeri sekiranya BN menjadi dominan dalam pembentukan kerajaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut berkata, jalinan kerjasama pihaknya bersama GRS mencapai kata sepakat dan bakal membantu satu sama lain dalam menghadapi PRU-15.

Beliau juga turut memberi jaminan dimana BN tidak akan bertembung dengan GRS dalam soal pembahagian kerusi Parlimen.

"Tidak ada pertembungan. Di mana BN bertanding, GRS tidak akan bertanding. Selain itu kita ada formula (pembahagian kerusi) yang telah dipersetujui oleh Pengerusi BN Sabah dan Pengerusi GRS.

"Formula itu telah dicapai tetapi akan diumumkan oleh Bung Moktar dan Hajiji. Pengumuman akan dibuat oleh mereka pada tarikh yang telah ditetapkan dalam waktu terdekat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 3:52 PM