Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap sebelum merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Tuaran di Dewan Seri Sulaman, di sini, hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap sebelum merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Tuaran di Dewan Seri Sulaman, di sini, hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Izwan Abdullah


Tuaran: Umno mengambil pendirian yang jelas berhubung kepentingan kebersamaan dalam perjuangannya dengan parti atau organisasi lain bagi memastikan kestabilan politik Kerajaan Perpaduan, khususnya di Sabah.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, atas sebab itu, beliau memilih untuk hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tuaran walaupun ada pihak dalam parti memintanya menilai semula.

Katanya, ia berikutan kehadiran Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama kepemimpinan GRS dan Pakatan Harapan (PH) Sabah pada majlis itu.

"Walaupun saya tahu ada dalam kalangan rakan-rakan yang memberikan pandangan bahawa saya harus menilai semula keputusan datang merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Tuaran kerana keberadaan Ketua Menteri Sabah, rakan-rakan dalam GRS dan pemimpin dari PH.

"Itu nasihat kawan-kawan, namun saya melakukan istikarah, siapapun yang datang, ini adalah kawan-kawan saya dan saya mengambil risiko untuk datang ke Tuaran ini bukan bererti kita meninggalkan mana-mana kawan.

"Bagi saya soal musuh kamu, itu hal kamu, sahabat kamu adalah sahabat saya juga. Untuk itu, maka kebersamaan kita dalam perjuangan, sama ada parti atau mana-mana organisasi kesukarelawan, pendirian kita harus jelas.

"Di sana memang ada musuh menanti, tapi kita harus ingat bahawa tidak ada rakan yang kalah dan tidak ada musuh tetap kalah tetapi kita tahu bahawa politik adalah sesuatu yang sangat dinamik.

"Dulu kawan, sekarang musuh, sekarang musuh yang akan datang mungkin akan jadi kawan kerana politik itu dinamik. Apa yang penting ialah kestabilan politik harus jadi tajuk utama kepada kesejahteraan rakyat secara keseluruhan khususnya di Sabah," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tuaran.

Ia adalah mesyuarat bahagian Umno yang pertama dirasmikan Ahmad Zahid pada tahun ini, disusuli Umno Bahagian Sepanggar dan Umno Bahagian Papar pada petang dan malam ini.

Majlis itu dihadiri Hajiji atas undangan Ketua Bahagian Umno Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Turut hadir Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew dan Ketua PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.

Kehadiran Hajiji pada majlis itu mendapat perhatian berikutan hubungan dingin beliau dengan Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin selepas Umno Sabah pada awal tahun lalu menyatakan hilang kepercayaan terhadapnya dan kerajaan pimpinan GRS.

Ahmad Zahid berkata, semua pemimpin perlu mempelajari soal adab atau akhlak bagi menangani perbezaan pendapat yang berlaku.

"Perbezaan pendapat itu boleh diraikan tetapi ada adab, ada akhlak dan ada tatacara untuk menanganinya. Maka dalam keadaan itulah saya amat menghormati keberadaan Ketua Menteri dalam majlis Umno ini," katanya.

Pada majlis itu, selain ucapan perasmian yang disampaikan Ahmad Zahid, Hajiji turut mendengar ucapan dasar yang disampaikan Abdul Rahman sebelum meninggalkan majlis untuk ke acara rasmi beliau di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chen Sin, Tuaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 3:22 PM