BUNG Moktar dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah baharu.
BUNG Moktar dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah baharu.
Nur Lela Zulkipli


AHLI Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin, hari ini dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah baharu menggantikan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berkuat kuasa serta merta.

Bagi jawatan lain, Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Datuk Yakub Khan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Awam UMNO, Ketua Bahagian UMNO Kinabatangan, Datuk Jeffri Ariffin sebagai Setiausaha dan Ketua Bahagian UMNO Tenom, Datuk Raime Unggi sebagai Pengerusi Penerangan.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan berjumpa barisan baharu yang dilantik di Kota Kinabalu, esok bagi memperkemaskan susunan ahli perhubungan negeri itu.

“Esok, Ismail Sabri dan Mahdzir akan berjumpa dengan barisan baharu yang dilantik bagi membincangkan jawatan ketua bahagian UMNO Sabah.

“Dalam hal ini kita sudah lakukan analisis berhubung kedudukan penjawat jawatan dalam badan perhubungan UMNO Sabah dan jawatan dalam bahagian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat UMNO di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir dalam sidang media berkenaan adalah Ismail Sabri; Mahdzir; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

AHMAD Zahid (tengah) pada sidang media khas di Ibu Pejabat UMNO, Kuala Lumpur, hari ini. Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
AHMAD Zahid (tengah) pada sidang media khas di Ibu Pejabat UMNO, Kuala Lumpur, hari ini. Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR

Ahmad Zahid berkata, tindakan 36 pemimpin yang keluar parti beramai-ramai sudah dijangkakan, dan UMNO Sabah tidak akan dibubarkan disebabkan tindakan kumpulan itu.

“Ini sama sekali tidak akan menjejas dan melemahkan perjuangan UMNO yang sudah banyak menabur jasa kepada anak negeri itu.

“Kemasukan UMNO ke Sabah pada 1991 banyak mengubah kedudukan sosio ekonomi negeri itu dan sudah tentu parti Rumpun Melayu akan meneruskan pembelaan berkenaan.

“Untuk itu, tindakan segera akan dilakukan bagi menyusun dan merombak UMNO Sabah. UMNO juga bersedia dengan pelan penggantian di peringkat bahagian sebagaimana terkandung dalam Fasal 15.7 dan Fasal 15.8 Perlembagaan parti,” katanya.

Terdahulu, Hajiji bersama sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), empat Ahli Parlimen, dua senator dan 21 ketua bahagian di negeri bertindak meninggalkan parti itu hari ini.

Keputusan sebulat suara itu diambil kerana kepimpinan UMNO Pusat tidak bersatu, tidak mempunyai hala tuju politik yang jelas dan sering bercanggah pendapat.

Sementara itu, ditanya mengenai calon Barisan Nasional (BN) yang akan diletakkan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highland, Ahmad Zahid bersetuju meletakkan calon MIC bagi menghormati kerusi tradisi di kawasan terbabit yang dikuasai parti berkenaan sejak sekian lama.

“Sebagai pengerusi BN, jawapan saya, ya. Kita menghormati konvensyen BN,” katanya.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh hari ini mengumumkan tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah membatalkan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Keputusan diambil bekas ketua pemuda MIC itu sekali gus menyaksikan satu PRK Parlimen Cameron Highlands akan diadakan.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya di Kuala Lumpur mengisytiharkan kerusi parlimen Cameron Highlands kosong selepas mendapati terdapat amalan rasuah yang membawa kepada kemenangan calon BN.

Berita berkaitan

[UPDATE] Mahu tempoh bertenang...

'Ini bukan keputusan peribadi...' - Azizah

UMNO Sabah 'berkubur'...? [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 7:54 PM