Alias Abd Rani


Batu Pahat: Peluang empat nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki karam ditemui selamat masih ada sekiranya mereka memakai peralatan kecemasan atau berpaut pada mana-mana objek terapung.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, namun begitu sehingga 5 petang ini, pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) belum menemui petunjuk.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan mangsa yang terselamat, ketika kejadian kelima-lima nelayan itu sempat keluar dari bot pukat tunda terbabit.

"Kita masih berharap semua mangsa selamat, kita beranggapan sekiranya mereka memakai peralatan keselamatan dan mungkin mangsa berpaut pada apa-apa objek terapung, ada kemungkinan untuk mangsa selamat masih ada.

"...atau diselamatkan oleh nelayan lain atau komuniti melalui perairan terbabit, berkemungkinan peluang mereka masih hidup tetap ada.

"Namun, sekiranya apa yang dikatakan tadi tidak berlaku, akan terjadi perkara di sebaliknya," katanya pada sidang media Op Carilamat kru bot nelayan hilang di Zon Maritim Batu Pahat, di sini, hari ini.

Empat nelayan yang dilaporkan hilang dalam kejadian 6 pagi semalam adalah tekong, Chia Kah Chong, 51, serta awak-awak Lee Poh Ling, 68, Tan Hai Lan, 62, dan Daud Darus@Hamid, 53.

Hanya Tan Siak Bin, 43, terselamat dalam kejadian itu selepas ditemui nelayan lain yang kebetulan melalui lokasi kejadian.

Kesemua mangsa dilaporkan keluar ke laut pada 8 malam Khamis lalu melalui jeti nelayan di Kampung Bumiputera Dalam, Rengit.

Sementara itu, Mohd Haniff berkata, setakat jam 5 petang ini, pasukan Carilamat belum menemui sebarang petanda mereka masih hidup.

Beliau berkata, operasi pada hari pertama melangkaui 27 batu nautika sebelum diperluaskan kepada 65 batu nautika membabitkan pencarian di permukaan laut.

"Hari ini, enam aset laut dan juga dua pesawat digunakan daripada Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin, pasukan gerakan udara Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 6:58 PM
MOHD Haniff menunjukkan senarai nelayan hilang selepas bot karam di perairan Tanjung Segenting. FOTO Alias Abd Rani
MOHD Haniff menunjukkan senarai nelayan hilang selepas bot karam di perairan Tanjung Segenting. FOTO Alias Abd Rani