PASUKAN penyelamat mengangkat mayat Chiah yang ditemukan  lemas. FOTO Ihsan APMM
PASUKAN penyelamat mengangkat mayat Chiah yang ditemukan lemas. FOTO Ihsan APMM
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Seorang daripada empat nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot pukat tunda dinaiki karam, ditemukan lemas, malam ini.

Mayat, Chiah Kah Chong, 53, yang juga tekong ditemui nelayan yang kebetulan melalui lokasi terbabit, pada 7 malam.

Pengarah Maritim Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, mayat kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat.

Beliau berkata, mayat kemudian diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk tindakan lanjut.

Setakat ini, hanya tiga lagi mangsa bot nelayan karam belum ditemui iaitu Lee Poh Ling, 68, Tan Hai Lan, 62, dan Daud Darus@Hamid, 53.

Seorang lagi mangsa Tan Siak Bin, 43, terselamat dalam kejadian itu selepas ditemui nelayan lain yang kebetulan melalui lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 10:50 PM