NELAYAN yang terselamat selepas bot dinaiki bersama sepupunya terbalik di Pantai Acheh Pulau Indah, Pelabuhan Klang, semalam. FOTO ihsan Maritim Selangor
NELAYAN yang terselamat selepas bot dinaiki bersama sepupunya terbalik di Pantai Acheh Pulau Indah, Pelabuhan Klang, semalam. FOTO ihsan Maritim Selangor
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang nelayan selamat manakala sepupunya masih hilang sejurus bot dinaiki terbalik akibat dipukul ombak ketika cuaca buruk,.

Dalam kejadian petang kelmarin, bot dinaiki mangsa terbalik berhampiran Pantai Acheh Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, dua mangsa terbabit keluar ke laut menggunakan bot gentian kaca pada jam 8 pagi semalam tanpa memakai jaket keselamatan.

Katanya, mangsa, Arnizam Ibrahim, 43, bagaimanapun selamat kerana sempat berpaut pada bot.

"Mangsa diselamatkan oleh bot pelabuhan (TEGUH 2) manakala sepupunya Mohd Fazil Paijan, 36, dilaporkan masih hilang.

"Sebaik menerima laporan kehilangan mangsa, Maritim Malaysia mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) sejak jam 5 petang semalam.

"Maritim Negeri Selangor membuka Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) di Jeti Marina Pulau Indah bagi menyelaraskan usaha OP CARILAMAT di sektor pencarian.

"OP CARILAMAT hari kedua diteruskan bermula jam 7 pagi semalam dengan pertambahan lima aset dari pelbagai agensi seperti Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan sebuah pesawat PDRM AW 139 (PGU) meliputi radius sektor pencarian 102 batu nautika persegi," katanya.

Abdul Muhaimin turut menasihatkan komuniti maritim sentiasa peka mengenai keselamatan di laut dan sentiasa menitik beratkan faktor keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Dalam perkembangan lain, Maritim Selangor menahan sebuah bot dengan 10 penumpang di kedudukan 0.8 batu nautika barat Tanjung Harapan pada jam 12.30 tengah hari Sabtu lalu.

Abdul Muhaimin berkata, penahanan bot penumpang itu dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan OP EHSAN dan OP TIRIS di perairan Selangor.

"Pemeriksaan awal mendapati bot itu dikendalikan oleh seorang nakhoda dan seorang kru. Bot itu bertindak mengambil 10 penumpang dari kapal dagang yang bersauh untuk di bawa ke jeti penumpang Pulau Ketam.

"Pemeriksaan lanjut mendapati, nakhoda itu gagal mengemukakan sijil insuran yang sah selain turut membawa 50 karton rokok tanpa kebenaran.

"Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Akta Kastam 1967 kerana membawa masuk rokok tanpa dokumen yang sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 12:11 PM