NELAYAN warga Indonesia terpaksa berpaut pada tong plastik dan terapung kira-kira 15 jam di laut sebelum diselamatkan. FOTO Ihsan APMM
NELAYAN warga Indonesia terpaksa berpaut pada tong plastik dan terapung kira-kira 15 jam di laut sebelum diselamatkan. FOTO Ihsan APMM
Mohamad Fahd Rahmat


Mersing: Seorang nelayan warga Indonesia berdepan detik cemas apabila terpaksa berpaut pada tong plastik dan terapung kira-kira 15 jam di laut sebelum diselamatkan pihak berkuasa negara ini, 10.30 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Mersing Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, mangsa dikenali sebagai Catur, 40, sebelum itu dilaporkan terjatuh dari bot nelayan di kedudukan 5.3 batu nautika Pulau Sibu Hujung, Mersing kira-kira 8 malam semalam.

Katanya, mangsa dipercayai hanyut sejauh 9.3 batu nautika dari lokasi dilaporkan terjatuh.

"Mangsa ditemukan di kedudukan lebih kurang 10 batu nautika selatan Pulau Sibu, di sini sekitar 10.30 pagi tadi.

"Mangsa ditemukan oleh bot Perikanan PL 87 yang turut serta dalam OP Carilamat dalam keadaan selamat," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Katanya, terdahulu pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu dari Pejabat Polis Daerah Mersing yang dibuat oleh pemilik bot nelayan terbabit iaitu warga tempatan, Kuek Ho Hwa, 66.

"Maklumat seterusnya disalurkan ke Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru dan Op Carilamat diaktifkan sekitar 11.50 malam semalam.

"Mangsa seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim tanjung Sedeli untuk rawatan dan tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 8:33 PM